Sesi sekolah bersemuka dilaksana dengan baik

0

Sesi sekolah secara bersemuka dilaksanakan dengan baik dan teratur, mengikut garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP).

Menurut Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, setakat ini, hampir 300,000 murid hadir bagi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka mulai 3 Oktober lalu.

Ia membabitkan sekolah di negeri fasa 2, 3 dan 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Bagaimanapun, bagi Johor dan Kedah, sesi persekolahan secara bersemuka hanya bermula kelmarin.

“Ini mengikut ketetapan bagi negeri yang terbabit dengan peralihan fasa PPN.

“Alhamdulillah, sehingga kini pengoperasian sekolah secara bersemuka dapat dilaksanakan dengan baik dan teratur mengikut garis panduan serta SOP yang ditetapkan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Datuk Dr Radzi menghadiri Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19 yang dipengerusikan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, bagi memaklumkan status pembukaan sekolah secara bersemuka mulai 3 Oktober lalu.

“Terima kasih kepada semua pihak, khususnya ibu bapa kerana sentiasa memberi sokongan dan kerjasama serta guru yang bertungkus lumus membuat persiapan.

“Semoga usaha untuk merapatkan kembali anak-anak dengan sistem persekolahan secara bersemuka ini dipermudah dan sesi dapat terus berlangsung dengan teratur serta selamat,” katanya.–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply