Sesi persekolahan bersemuka ditangguh ke 3 Oktober depan

0

Sesi persekolahan bersemuka ditangguhkan pada 3 Oktober depan berbanding 1 September yang ditetapkan sebelum ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, pembukaan akan dibuat secara berperingkat bermula dengan kelas membabitkan peperiksaan, dengan perincian mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

“Saya amat berharap penjelasan ini dapat meredakan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa mengenai pembukaan semula sekolah.

“Percayalah dalam setiap keputusan yang kami ambil untuk membuka sekolah, keselamatan anak-anak kita sentiasa menjadi keutamaan,” katanya dalam kenyataan menerusi video di Facebook rasminya.

Kementerian sedar katanya ramai ibu bapa yang ingin melihat anak-anak mereka dapat belajar secara bersemuka di sekolah dengan guru-guru dan dapat bermain dengan rakan-rakan mereka.

“Saya bagi pihak KPM memohon jasa baik semua agar terus memberi kepercayaan kepada kami untuk kita dapat bersama melakukan yang terbaik demi untuk generasi pewaris negara kita.

“Dengan kerjasama erat antara KPM dan ibu bapa serta seluruh masyarakat, kita yakin pembukaan sekolah nanti dapat berlangsung dalam keadaan lancar dan selamat,” katanya. –THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

 

Leave a Reply