Seramai 103,500 penduduk PPR dan perumahan awam DBKL terima saringan komuniti Covid-19 secara percuma

0

Ini pula berita baik untuk orang KL.

Seramai 103,500 orang penduduk di 27 lokasi Projek Perumahan Rakyat (PPR) atau Perumahan Awam (PA) DBKL bakal mendapat manfaat daripada program saringan Covid-19 secara bersasar dalam waktu terdekat.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Haji Annuar Musa berkata sebagai langkah kawalan dan pencegahan, KWP melalui DBKL dan Yayasan Wilayah Persekutuan dengan kerjasama agensi kerajaan dan pihak swasta akan menjalankan projek rintis Saringan Komuniti Bersasar Covid-19 (RTK-Ag).

Ia membabitkan kawasan ‘hot spot’ berkepadatan tinggi terutamanya PPR dan PA DBKL dengan mewujudkan pusat ujian saringan komuniti Covid-19 jenis RTK-Ag secara percuma untuk warga Wilayah Persekutuan.

Ujar Tan Sri Annuar, usaha yang dijalankan bertujuan untuk pengesanan awal kes positif Covid-19 sekaligus diharapkan mampu mengekang penularan wabak pandemik ini.

“Program saringan Covid-19 RTK-Ag di Wilayah Persekutuan melibatkan dua fasa pelaksanaan. Bagi fasa pertama, ianya melibatkan 50,000 orang dari 15 PA /PPR DBKL terpilih. Empat lokasi awal adalah PA Seri Sabah 3A, PA Seri Sabah 3B, PA Seri Pulau Pinang dan PA Seri Kota.

“Pada peringkat awal, saringan ini dikendalikan oleh 1 pasukan di setiap PA/PPR dengan kapasiti 200 hingga 300 orang disaring sehari”, katanya dalam satu kenyataan kepada The Malaya Post.

Tambah beliau, pelaksanaannya  mengikut SOP yang ketat di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan dikawal selia oleh PDRM, ATM dan RELA.

Antara agensi lain yang terlibat ialah Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, COVID-19 Immunisation Task Force (CITF), Jabatan Penerangan Kuala Lumpur dan pasukan sukarelawan turut membantu petugas dalam kelancaran proses saringan.

Tambahnya, kementerian menyasarkan pelaksanaan saringan ke 27 PPR/PA DBKL ini menjelang hujung bulan hadapan.

Ia sebagai salah satu usaha pencegahan dan kawalan penularan Covid-19 yang bersasar di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Saringan ini juga dibuat secara percuma kepada komuniti Kampung Sungai Penchala selama dua hari kerana mempunyai bilangan warga emas yang agak tinggi”, katanya.

Pelaksanaan program ini merupakan antara tujuh Inisiatif Wilayah Cakna 5.0 (IWC) 5.0 untuk kemudahan serta mengurangkan beban warga Wilayah Persekutuan yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) khususnya B40 dan miskin bandar.

Komuniti PPR/PA DBKL boleh mendapatkan perkhidmatan saringan Covid-19 secara percuma, mudah, cepat, selamat, tanpa perlu membayar apa-apa. –THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa
tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply