Serah kepada kerajaan, SPR tentukan SOP pilihan raya

0

Majlis Pemulihan Negara (MPN) menyerahkan kepada kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) untuk memutuskan mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang bersesuaian bagi mengadakan pilihan raya sewaktu pandemik COVID-19.

Menurut Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, soal SOP pilihan raya tidak dibincangkan dalam Mesyuarat MPN kali keempat yang diadakan pada Jumaat.

“Kita tak bincang soal pilihan raya dalam mesyuarat.

“Kita serah kepada kerajaan, (dan) kita serah kepada SPR untuk buat keputusan,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat berkenaan.

Pilihan Raya Negeri (PRN) perlu dilaksanakan dalam tempoh 60 hari.

Kami difahamkan SPR dijangka mengadakan satu mesyuarat khas berkaitan PRN Melaka pada Isnin depan.

Dalam perkembangan sama, Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak dalam satu kenyataan dilaporkan berkata, mesyuarat akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh di salah sebuah hotel di Melaka.

Untuk rekod, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu selepas Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam bersetuju membuat keputusan itu.

Pembubaran berkenaan selepas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali mengutus surat pembubaran kepada Tun Mohd Ali susulan empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kerajaan negeri.–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply