Sendiket pengedaran dadah terbesar di Lembah Klang tumpas, turut dirampas dadah bernilai RM144.9 juta

0

KUALA LUMPUR : Polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM144.9 juta selepas menahan sembilan individu dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Kuala Lumpur, semalam dan kelmarin.

Dalam serbuan bermula jam 8 malam kelmarin hingga 1 pagi semalam, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menyita syabu seberat 309.8 kilogram (kg), heroin belum diproses (heroin base) (12.7 kg), pil ekstasi (637.7 kg), pil Erimin 5 (564.8 kg), ketamin (3.4 kg) dan kokain (6.5 kg).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata hasil serbuan di sebuah rumah teres dan dua kondominium sekitar Kepong, Selayang dan Sentul membawa kepada penangkapan lapan individu tempatan termasuk seorang wanita dan seorang lagi wanita warga Indonesia berusia antara 23 hingga 50 tahun.

“Hasil pemeriksaan dilakukan, kami menemui 309.76 kilogram (kg) syabu, 12.7 kg heroin base, 637.72 kg pil ekstasi, 564.83 kg pil erimin 5, 3.4 kg ketamin, 6.5 kg kokain dianggarkan berjumlah RM144.9 juta yang boleh dibekalkan kepada 6.5 juta penagih di tiga kediaman berkenaan.

“Kami menahan tujuh lelaki tempatan, seorang wanita tempatan dan seorang wanita warga Indonesia berusia antara 23 hingga 50 tahun selain merampas dua pucuk pistol bersama 150 peluru dalam serbuan itu,” katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, hari ini.

Tan Sri Abdul Hamid berkata, pihaknya turut menyita empat kenderaan, wang tunai RM17,080, wang tunai mata wang asing iaitu 300 USD (RM1,200) dan 50 Brunei Dollar (RM150).

Selain jam tangan serta pelbagai barang kemas dengan keseluruhan nilai sitaan berjumlah RM400,330.

“Siasatan awal mendapati sindiket ini yang juga antara sindiket terbesar di Lembah Klang dipercayai aktif sejak tahun lalu dengan menjadikan unit kediaman sebagai tempat menyimpan bekalan sebelum diedarkan bagi pasaran tempatan dan luar negara iaitu negara jiran.

“Berdasarkan penemuan parcel daripada beberapa syarikat kurier, kami mendapati sindiket ini menggunakan khidmat kurier bagi menghantar bekalan kepada pembeli dalam negara dan luar negara,” katanya.

Semakan mendapati dua daripada sembilan suspek terbabit masing-masing mempunyai enam rekod jenayah dan dadah.

“Hasil ujian saringan air kencing dilakukan mendapati lima lelaki tempatan dan seorang wanita warga Indonesia didapati positif methaphetamin, ketamin dan benzo.

“Semua suspek direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 20 Januari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1960,” katanya.

–THE MALAYA POST

*Subcribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply