Semua pihak perlu bekerjasama banteras rasuah – Menteri Besar Perak

0

Dalam memberi khidmat terbaik kepada rakyat, ketua-ketua jabatan kerajaan disarankan sentiasa memantau dan mengingatkan kakitangan tentang pentingnya memelihara nilai integriti.

Integriti tidak terhad kepada perkara yang melibatkan wang ringgit, projek dan perolehan kerajaan sahaja malah mencakupi nilai-nilai ketika waktu bekerja juga di luar waktu bekerja.

Peringatan demikian disuarakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu ketika menyampaikan ucaptama perasmian Seminar ‘Integriti, Governans dan Anti Rasuah peringkat negeri Perak.

Di majlis perasmian berkenaan, beliau berkata jenayah rasuah memberi impak secara langsung terhadap pertumbuhan ekonomi sesebuah negara.

“Ia juga menjejaskan keyakinan para pelabur, menyumbang kepada peningkatan kadar inflasi dan rasuah boleh memusnahkan sesebuah negara.

“Janganlah sesekali kita menyalahgunakan kuasa yang ada sehingga mendatangkan kemudaratan kepada rakyat dan sebaliknya turut memudaratkan diri dan keluarga.

“Jenayah rasuah bukanlah isu baru dalam negara dan masyarakat kita. Sama ada kita bersetuju atau tidak, hakikatnya jenayah rasuah telah menjadi barah dalam masyarakat kita sejak sekian lama,” ucap beliau.

Berbicara lanjut, beliau percaya memerangi jenayah rasuah sangat rumit dan memerlukan kesungguhan politik yang kuat.

“Untuk menang dalam peperangan melawan jenayah rasuah, kerajaan dan SPRM memerlukan sokongan daripada semua pihak. Ini termasuk sokongan daripada para penjawat awam dan kakitangan GLC.

“Kita perlu jadikan peperangan melawan rasuah sebagai jihad sosial untuk menyelamatkan negara, malah semua agenda dan perancangan kerajaan bersama pihak SPRM tidak akan berjaya tanpa sokongan dan dokongan daripada insan yang berintegriti di segenap peringkat organisasi.

“Di sinilah peranan ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan GLC dan perbadanan negeri amat penting sebagai first line of defence dalam perang melawan jenayah rasuah,” ucap beliau.

Beliau juga menegaskan agar semua pihak ‘to take ownership’ bagi memantau perbelanjaan dan operasi jabatan masing-masing bagi mengelakkan ketirisan serta konsep kawalan kendiri dan pematuhan SOP mesti diamalkan.

Dalam masa yang sama, beliau percaya peranan masyarakat juga adalah kunci kepada usaha memutuskan rantaian rasuah.

“Kita amat menggalakkan masyarakat untuk melaporkan jenayah rasuah yang membabitkan sesiapa sahaja tanpa mengira pangkat dan kedudukan dengan kaedah yang betul dalam melaporkan jenayah rasuah,” tambah beliau.

Untuk rekod, pentadbiran Kerajaan Negeri Perak telah meletakkan pemerkasaan integriti sebagai agenda utama sejak Mei 2018 yang menempatkan sebagai negeri pertama mewajibkan semua EXCO dan ADUN serta ahli keluarga terdekat untuk melaksana perisytiharan harta dalam akuan berkanun kepada Speaker DUN dan SPRM.

Malah, pegawai kanan syarikat berkaitan kerajaan negeri atau GLC juga telah diarahkan untuk membuat pengisytiharan harta kepada SPRM.

Selaras dengan usaha dan komitmen tinggi kerajaan dalam membanteras jenayah rasuah, kerajaan negeri telah menempatkan pegawai-pegawai SPRM di Unit Integriti Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan Pejabat Menteri Besar.

Selain pentadbiran kerajaan negeri, pemerhatian khusus turut diberikan terhadap GLC negeri dengan melantik para professional sebagai peneraju untuk meningkatkan tahap ketelusan dan kecekapan sebagai usaha memastikan segala perbelanjaan mematuhi semua peraturan kewangan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kewangan dan Pejabat Kewangan Negeri.

Melalui penstrukturan semula ini, pentadbiran kerajaan negeri Perak telah berjaya mengekalkan pengiktirafan Sijil Bersih untuk Audit Penyata Kewangan Bagi Tahun Berakhir 2018.

Kerajaan negeri juga menyahut Gerakan Pemantapan Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Dalam Urusan Pentadbiran Kerajaan Malaysia melalui penubuhan Jawatankuasa Anti Rasuah Negeri Perak.

Susulan itu, semua jabatan dan agensi telah diarahkan untuk membangunkan Pelan Anti-Rasuah Organisasi (OACP).

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply