Semua pihak mestilah menghormati prerogatif atau hak budi bicara Perdana Menteri untuk melantik Menteri Pendidikan yang baharu – Ketua Penerangan BERSATU, Dr Radzi Jidin

0

Ketua Penerangan BERSATU, Dr.Radzi Jidin berkata dalam satu kenyataan bahawa beberapa pihak telah secara terbuka mencadangkan nama-nama calon Menteri Pendidikan yang baharu untuk menggantikan YB Dr. Maszlee Malik.

Malah terdapat juga cadangan supaya pelantikan Menteri Pendidikan yang baharu dibincangkan dalam mesyuarat Pakatan Harapan.

Menurutnya, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik menteri dari kalangan ahli mana-mana satu Majlis Parlimen mengikut Perkara 43(2)(b) Perlembagaan Persekutuan serta atas nasihat Perdana Menteri.

“Perkara ini adalah menjadi prerogatil atau hak budi bicara Perdana Menteri untuk menasihati Yang di-Pertuan Agung tentang pelantikan seorang Menteri.

“Ini juga bermakna bukanlah menjadi keperluan untuk Perdana Menteri
membincangkan pelantikan seorang menteri dalam mana-mana mesyuarat khusus melainkan beliau sendiri berpandangan sedemikian,” katanya.

Tambahnya lagi, dalam konteks pelantikan Menteri Pendidikan baharu yang mana penyandang sebelum ini adalah daripada parti BERSATU tidak wujud keperluan bagi Pakatan Harapan untuk bermesyuarat bagi memilih seorang pengganti daripada parti BERSATU.

Oleh yang demikian, dia berkata semua pihak mestilah menghormati prerogatif atau hak budi bicara YAB Perdana Menteri untuk melantik Menteri Pendidikan yang baharu.

“BERSATU berdiri teguh bersama YAB Perdana Menteri dalam apa jua keputusan beliau berhubung pelantikan Menteri Pendidikan yang baharu demi kemajuan pendidikan negara,” ujarnya.

Leave a Reply