Sempadan Malaysia, Singapura dibuka 17 Ogos

0

Menteri Luar Negeri, Dato Seri Hishammuddin Hussein bersama Menteri Luar Singapura, Tuan Yang Terutama (TYT) Dr. Vivian Balakrishnan mengadakan pertemuan membincangkan pergerakan rentas sempadan Malaysia-Singapura bersyarat menerusi dua skim seperti yang telah diumumkan melalui kenyataan bersama pada 15 Julai lalu.

Memetik dalam satu siaran media, beliau berkata dua skim, Reciprocal Green Lane (RGL) atau Laluan Hijau Timbal Balik dan Periodic Commuting Arrangement (PCA) atau Pengaturan Ulang Alik Berkala mengikut perancangan akan dilaksanakan bermula 10 Ogos depan.

“Menerusi perbincangan satu kesepakatan antara kerajaan Malaysia dan Singapura mengenai Standard Operating Procedure (SOP) bagi melaksanakan kedua-dua skim berkenaan telah dicapai dan dimuktamadkan, kedua-dua pihak merancang untuk mengeluarkan garis panduan untuk makluman awam mengenai syarat-syarat dan cara-cara membuat permohonan di bawah kedua-dua skim ini dalam masa terdekat.

“Menerusi kesepakatan yang dicapai juga, dijangkakan pergerakan rentas sempadan antara Malaysia dan Singapura akan bermula paling awal pada 17 Ogos dan untuk makluman awal, rakyat Malaysia yang layak memohon di bawah kedua-dua skim berkenaan boleh menghantar permohonan kepada Jabatan Imigresen Malaysia bermula 10 Ogos depan.

” Sementara itu, seperti yang telah dimaklumkan sebelum ini, terdapat 2 lagi skim yang dicadangkan iaitu rentas sempadan setiap hari atas tujuan kerja yang dijangka melibatkan seramai lebih kurang 200,000 rakyat Malaysia dan Singapura serta pembukaan sempadan sepenuhnya,” ujar beliau.

Menurut beliau lagi, untuk skim ketiga dan keempat kerajaan Malaysia dan Singapura masih perlu memperhalusi banyak perkara sebelum ia boleh dilaksanakan.

“Ini kerana ia berkait rapat soal keselamatan dan kesihatan memadangkan situasi COVID-19 jelas masih belum reda. Dalam erti kata lain, ia memerlukan masa.

“Perkara yang paling utama adalah kelulusan ke atas cadangan ini tertakluk kepada keupayaan kedua-dua negara melaksanakan ujian saringan COVID-19 harian terhadap pekerja-pekerja yang berulang alik dimana kelulusan terbabit amat berkait rapat dengan tahap disiplin dan pematuhan rakyat kedua-dua negara yang melaksanakan pergerakan rentas sempadan menerusi skim RGL dan PCA.

“Sekiranya rakyat kedua-dua negara patuh SOP yang ditetapkan dengan sebaiknya, barulah kita akan melihat kebarangkalian untuk membenarkan perjalanan rentas sempadan dibawah kategori ketiga dan keempat,” katanya.

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply