Segera tubuh Pasukan Peguam Muafakat Nasional, heret Kerajaan ke Mahkamah – Hasnal Rezua Merican

0
Dato' Hasnal Rezua Merican

Baru-baru ini, parti UMNO dan PAS telah melancarkan piagam Muafakat Nasional melalui agenda Perpaduan Ummah.

Dua parti komponen Barisan Nasional, iaitu MCA dan MIC turut menyatakan sokongan kepada Muafakat Nasional berkenaan.

Menurut Peguambela terkenal Dato’ Hasnal Rezua Merican dalam temubual eksklusif bersama The Malaya Post, Muafakat Nasional dilihat satu agenda nasional yang besar, signifikan dan tepat pada waktunya.

Namun, Kerajaan Pakatan Harapan cuba memencil dan mengenepikan agenda ini sebagai suatu yang berbaur perkauman sempit, chauvinistik dan satu langkah terkebelakang.

Justeru kata beliau, Muafakat Nasional mesti terus memperjuangkan isu-isu yang mencabar teras Nasional seperti isu agama, isu bangsa, isu raja-raja, isu bahasa dan sebagainya.

“Pada masa yang sama, Muafakat Nasional, sebagai sebuah gagasan masa hadapan yang merentasi batasan horizon, tidak seharusnya dipencilkan kepada isu-isu sedemikian. Ia harus siaga di dalam mengangkat isu-isu kesejahteraan Rakyat, keadilan sosial dan kezaliman pemerintah melewati pentas-pentas ceramah. Perlu diterjemahkan di dalam bentuk pengupayaan insan (human empowerment) dan pembelaan yang tuntas” katanya.

Ujar Dato’ Hasnal yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Selayang, baru-baru ini, negara dikejutkan dengan dua perlakuan semberono dan tidak berhemah oleh Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Pusat.

“Kerajaan Negeri Selangor telah menghantar jentolak untuk meroboh rumah-rumah penginapan ketika kaum wanita dan kanak-kanak berada di dalam rumah. Alasan Kerajaan Negeri adalah mereka mendirikan rumah di atas tanah yang digazetkan untuk tebatan banjir dan pendudukan mereka di atas tanah itu adalah secara haram setelah gagal mematuhi notis pengosongan tanah”, katanya kepada The Malaya Post.

Tambah beliau, terdapat pelbagai isu undang-undang yang mesti diperhalusi.

Antaranya, sebahagian penduduk mendakwa mempunyai geran.

Adakah pengambilan tanah dengan kaedah yang digunakan oleh Kerajaan Negeri Selangor bertepatan undang-undang terhadap mereka yang mempunyai geran?

Biarpun penduduk selebihnya tidak mempunyai geran, hak mereka di sisi ekuiti masih perlu diiktiraf.

Misalnya, Kerajaan Negeri mengutip cukai pintu dan cukai tanah daripada mereka yang tidak bergeran.

Itu adalah tindakan pengiktirafan kependudukan.

Tambah beliau, mahkamah adalah ruang terbaik untuk isu-isu ini diperhalusi.

Dalam apa keadaan sekalipun, cara rumah kediaman mereka dirobohkan dan mereka dibiarkan sehelai sepinggang tanpa sebarang ihsan dan pembelaan daripada Kerajaan Negeri adalah menepati deskripsi Kerajaan yang tidak bertamadun.

“Sementara itu, di Kuala Lumpur, Menteri Wilayah Persekutuan mengumumkan semasa sesi ‘townhall’ dengan penduduk Kampung Baru bahawa Kerajaan bercadang untuk menawarkan harga belian sebanyak RM850 satu kaki persegi bagi tanah mereka.

Adakah harga tersebut setimpal dengan harga tanah semasa di Kuala Lumpur?
Adakah Kerajaan yang akan membayar pampasan? Jika Kerajaan yang akan membuat pampasan, daripada dana manakah wang pampasan ini akan diambil? Adakah kerajaan hanya bertindak sebagai perantara kepada pemaju yang akhirnya akan membeli tanah Kampung Baru di bawah harga pasaran”, jelasnya.

Menurut Dato, Hasnal, Menteri Wilayah Persekutuan dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan telah membuat kenyataan umum bahawa sekiranya tawaran harga ini ditolak oleh pemegang tanah, Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk menggunakan Akta Pengambilan Tanah untuk mengambil Tanah mereka di mana pampasan yang akan mereka terima adalah jauh lebih rendah daripada harga yang ditawarkan Kerajaan.

“Ini adalah kaedah membeli tanah ala “Saddiq Segaraga”, katanya.

Untuk menggunakan peruntukan di bawah Akta Pengambilan Tanah, kerajaan mesti menunjukkan tanah tersebut perlu untuk pembangunan yang bertujuan kepentingan awam.

Jelas beliau lagi, memandangkan Kerajaan bermula dengan menawarkan harga belian kepada pemegang tanah, adalah jelas bahawa pembangunan yang dihasratkan tidak mempunyai karektor ‘public purpose’.

Akta Pengambilan Tanah digunakan sebagai ‘bogeyman’ untuk mengugut dan menakut-nakutkan pemegang tanah.

“Ini adalah masanya bertepatan bagi pendokong Muafakat Nasional memperjuangkan kedua-dua isu ini.

Kita tidak harus dilihat bersama hanya di atas pentas-pentas politik. Kebersamaan kita harus ditampilkan melalui penubuhan Pasukan Peguam Muafakat Nasional yang dibarisi pengamal undang-undang UMNO, PAS, MCA dan MIC untuk mengheret sebuah Kerajaan zalim yang tidak mempunyai walau sekelumit ehsan dan wibawa ke muka pengadilan”, katanya mengakhiri temubual Eksklusif The Malaya Post.

Leave a Reply