EKSKLUSIF : Secara moral, etika dan kerohaniannya, Anwar Ibrahim tidak layak diangkat sebagai Perdana Menteri Malaysia – Yusoff Rawther

0

Krew The Malaya Post berkesempatan menemubual secara eksklusif pemuda kelahiran Pulau Pinang yang juga bekas penyelidik di Pejabat Presiden PKR, Muhammed Yusoff Rawther.

Mendekati pemuda tinggi lampai ini, Yusoff Rawther yang kini berusia 27 tahun sangat jujur dan berterus terang dalam tuturnya.

Beliau adalah pelajar jurusan Kewangan dan Perakaunan di Wales of Holland.

“Saya berasal daripada Pulau Pinang, datuk saya merupakan arwah Hj SM Mohd Idris, tahun ini umur saya 27 tahun, saya pernah belajar di Wales Of Holland dalam jurusan Kewangan dan akauntan selama dua tahun malangnya saya terlibat dalam satu kemalangan yang telah mengakibatkan saya ‘immobilize’ selama enam bulan dan selepas sembuh saya menguruskan perniagaan keluarga saya di Pulau Pinang sehinggalah saya bertemu dengan Anwar di rumah datuk saya semasa beliau datang untuk ziarah dan beliau tawarkan untuk bekerja dengannya pada September 2018.

“Itu bukan kali pertama saya berjumpa dengan beliau, pernah jumpa banyak kali. Kebanyakkan masa jumpa beliau ke rumah datuk saya, setiap kali datang ke Pulau Pinang, beliau mesti akan kunjungi datuk saya. Jadi pertemuan yang terakhir ni di rumah datuk saya dan ia sesuatu perkara yang sudah biasa.

“Bagi saya bila diberi satu peluang untuk bekerja dengan kononnya bakal Perdana Menteri, tidak kiralah sama ada buat kerja-kerja yang bukan dibidang pengkhususan saya seperti menyelidik. Jadi saya mengganggap itu satu cabaran dan saya menyahut cabaran tersebut,” katanya ketika wawancara di The Malaya Post.

Ditanya pengarang berikutan keputusan kesnya, Yusoff Rawther bereaksi sedikit kecewa dan berkata kesalahan dari segi jenayah telah dilakukan terhadapnya.

Walaupun yang melakukan itu ialah orang kenamaan, orang politik atau sebagainya tetapi Yusoff menegaskan jenayah telah dilakukan dan perlu disiasat lanjut serta keadilan perlu ditegakkan.

“Saya tak kisah beliau orang besar ke orang kecil, nak kata terkejut tu tak boleh sebab saya sudah bersedia untuk menerima keputusan sebegitu namun apabila mendengar keputusan tu dikeluarkan secara rasmi, saya marah juga kerana seorang yang telah membuat kesalahan boleh terlepas begitu sahaja dan saya tak boleh menerima keputusan sebegini tanpa justifikasi.

“Kalau beliau nak saman, saman. Tak perlu nak pergi buat hebahan, buat saja. ‘Action speaks louder than words’. Saya telah memberikan kerjasama yang penuh kepada pihak polis untuk mereka lengkapkan siasatan secara terperinci dan keseluruhan. Suatu jenayah telah dilakukan, kejahatan fitnah telah dilakukan kepada saya oleh seseorang yang telah disabitkan bukan sekali tetapi dua kali dan sebagai orang awam saya sudah serahkan kepada undang-undang.

“Walaupun kes saya tidak begitu berat seperti kes terdahulu, ia masih merupakan fakta yang sangat serius. Saya percaya polis telah menyiapkan siasatan mereka dan membuat yang terbaik dalam laporan mereka, semua fakta yang betul untuk diserahkan ke pejabat Peguam Negara. Namun malangnya mereka tidak mahu mendakwa. Pun begitu saya akan melakukan semua yang diperlukan demi keadilan” katanya.

Kepada satu soalan pandangan peribadi beliau mengenai bekas majikannya, ini jawab Yusoff.

“Semasa saya mula bekerja dengan beliau, memang saya melihat beliau sebagai seorang yang mungkin boleh menjadi Perdana Menteri tetapi selepas apa yang berlaku kepada saya, tingkah laku selepas segala-galanya berlaku, saya sudah rasa beliau tidak layak. Secara moral, etika dan kerohanian” ujarnya dengan penuh yakin.

Setelah melalui pengalaman hitam dan tidak terjangka berlaku ke atas dirinya, Yusoff Rawther secara berterus terang dan berpendapat Dato’ Seri Anwar Ibrahim tidak layak bergelar seorang Perdana Menteri bagi menggantikan Negarawan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Pada pendapat saya, saya rasa Anwar tak layak menjadi seorang Perdana Menteri disebabkan oleh beberapa ciri yang saya telah lalui dan beliau bukanlah seorang pemimpin yang layak.

“Beliau mungkin seorang ahli politik yang baik tetapi dia tidak layak untuk menjadi pemimpin. Sebagai seorang pemimpin, dia patut mempunyai fokus yang pada isu yang beliau katakan tentang kepimpinan, tadbir urus, integriti dan sebagainya. Tapi ini pula dia asyik nak fokus kepada benda lain.

“Selepas saya membuat akuan bersumpah (SD) dan sidang media, ada beberapa pihak yang memanggil saya untuk berjumpa namun saya tidak mengendahkannya,” tambahnya lagi.

Meluahkan keadilan yang dicari, Yusoff Rawther mengharapkan sekiranya satu kesalahan berlaku, tindakan yang sepatutnya perlu diambil dan jangan ada sebarang penipuan.

Beliau juga menitipkan pesanan kepada mangsa-mangsa yang mungkin melalui keadaan dan pengalaman seperti beliau agar berani untuk tampil keluar dan membongkar perbuatan penganiayaan di luar tabii agar ia tidak berulang lagi.

“Dan kepada yang tak ingin keluar, saya faham, tak ingin nak menceritakan masalah, kes-kes yang telah berlaku kepada mereka, saya faham apa yang anda mengalami dan saya telah pun melaluinya. Sebelum saya bersedia untuk kehadapan, saya juga mengambil masa, apa pun anda harus menghentikan perbuatan itu walaupun beliau seorang VIP atau apa sahaja pangkat yang ada”, katanya.

Menceritakan keakraban hubungan keluarganya dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, beliau berkata hubungan datuknya dengan Ahli Parlimen Port Dickson ini telah terjalin sejak Dato’ Seri Anwar berumur dalam linkungan 20-an hingga 30-an.

“Saya rasa , arwah datuk saya tidak menganggap Anwar ni seorang yang sebegini dan sewaktu kejadian, Oktober 2018 umur datuk saya 93 tahun”, katanya.

Kepada satu soalan mengapa mengambil masa begitu lama iaitu setahun sebelum mendedahkan kejadian berkenaan, berikut jawab beliau.

“Datuk selalu keluar dan masuk hospital. Saya tidak mempunyai kekuatan hati dan emosi untuk memberitahunya kerana jika saya menghebahkan kepada orang awam, dia akan tahu serta akan memberi kesan kepadanya, saya tak sanggup buat begitu kepadanya.

“Malangnya, datuk saya telah meninggal dunia pada Mei 2019 dan dalam masa yang sama saya diserang oleh Farhash. Pada awal bulan Jun, saya mendapatkan seorang peguam dan saya menceritakan keseluruhannya tetapi peguam itu tidak mahu membawa kes ini, dia hanya memfokuskan kes serangan Farhash terhadap saya, pasal Anwar ni dia ketepikan.

“Dia tahu benda tu serius tapi dia tak berani nak kemukakan. Jadi semenjak itu saya cuba nak cari peguam yang berani untuk nasihatkan saya untuk langkah seterusnya, sampai bulan November tiada apa-apa perkembangan. Tiada peguam yang sanggup untuk kehadapan dan membawa kes ini. Saya berkata pada diri saya, i have to go fight this myself. Itu saya buat akuan bersumpah dan saya teruskan dengan cara yang saya rasa ia berkesan,” ujarnya.

Ditanya mengenai soal masa depan dan kerjaya, Yusoff Rawther akan kembali menguruskan perniagaan keluarganya dan akan menyambung kembali pengajiannya yang tertangguh akibat kemalangan yang dilalui semasa sedang bergelar graduan.

Dia juga menyimpan hasrat untuk menghabiskan pengajian di dalam jurusan kewangan dan perkaunan dengan sebaik mungkin dan kembali menyumbangkan dalam apa jua cara untuk membantu Malaysia berkembang dan berjaya.

Untuk rekod, Muhammed Yusoff Rawther dalam akuan bersumpah mendakwa, dia berdepan serangan seksual di sebuah kediaman di Segambut, pada 2 Oktober tahun lepas.

Dia telah membuat laporan polis bagi menggesa pihak berkuasa menyiasat dakwaan berkenaan pada 7 Disember yang lalu.

Muhammed Yusof juga sudah dipanggil polis untuk melakukan ujian poligraf di Bukit Aman pada 17 Disember tahun lalu.

Pada Selasa (14 Januari) Jabatan Peguam Negara memutuskan tidak akan mendakwa Dato’ Seri Anwar yang dinamakan dalam satu kes serangan seksual, atas alasan, tidak mempunyai bukti yang mencukupi.

Susulan itu Dato’ Seri Anwar berkata saman sivil terhadap Yusoff akan diteruskan.

Namun setakat ini, tiada perkembangan lanjut berkenaan saman itu.

Sebaliknya Yusoff Rawther dalam satu sidang media khas di pejabat peguamnya Hanith Khatri, beliau mencabar Dato’ Seri Anwar untuk teruskan saman itu. –THE MALAYA POST

*Subcribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply