Sebaran berita palsu : Tentukan sahih baru kongsi

0

Oleh : Nasharudin Mat Isa

Hari ini adalah hari yang kedua belas perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan. Walau pun tahap mereka yang melaksanakan nya meningkat dari hari pertama, namun masih ada yang masih engkar malah menurut Menteri Kanan, YB Dato Seri Ismail Sabri didalam sidang media nya sebentar tadi, jumlah mereka yang telah ditahan oleh pihak PDRM adalah seramai 828 individu kerana ingkar PKP.

Yang lebih malang dari itu adalah, terdapat juga dari kalangan mereka ini ini yang mencabar dan menghalang pihak penguatkasa dari menjalankan tugas mereka. Kalau dibandingkan perlaksanaan penguatkuasaan oleh pihak PDRM kita adalah jauh lebih lembut dari apa yang sedang dilakukan dibanyak negara lain.

Apa yang ingin saya sentuh dalam penulisan ringkas kali ini adalah tentang penyebaran berita palsu. Bagi mereka yang menggunakan khidmat pesanan Majlis Keselamatan Negara (MKN) melalui aplikasi Telegram tentu ada menerima pesanan berikut;

‘MKN menyeru agar masyarakat Malaysia mengamalkan nilai-nilai murni dan bertanggung jawab atas sebarang sebaran informasi dan berita. Tindakan membuat pautan palsu ke laman media atas talian atau laman media kerajaan adalah perbuatan yang tidak bertanggung jawab dan boleh diambil tindakan mengikut perundangan sedia ada. MKN kesal dengan perbuatan ini dan tidakan tegas akan diambil kepada pelaku sebaran palsu ini, Tentukan sahih, baru kongsi’.

Satu pesanan melalui SMS juga dari MKN telah diterima dengan peringatan ;
‘ Hentikan penyebaran berita palsu atau anda akan berdepan tindakan tegasdaripada PDRM dan MCMC’.

Mungkin ramai termasuk saya sendiri tertanya tanya apa kah motif mereka yang tidak betanggung jawab ini menyebarkan berita berita palsu tersebut. Adakah semata mata untuk kepuasan diri individu masing masing atau perancangan pihak tertentu yang berniat jahat.

Mungkin kah juga mereka ini sedang mengalami masaalah sakit jiwa dan mental, atau mungkin juga mereka ini memang tidak ada langsung kesedaran sivik untuk melakukan sesuatu yang positif dan baik untuk masyarakat.

Dalam suasana kita sedang berhadapan dengan satu ujian yang cukup besar dari Allah SWT ketika ini, kenapa tidak digunakan ruang kita duduk dirumah itu untuk bermuhasabah diri dan berusaha untuk memperbaiki selain menambah amalan amalan kita.

Kepada mereka yang menyebarkan berita berita palsu ini, fikirkan lah sejenak akan dosa dan pahala, syurga dan neraka sebelum melakukan sesuatu yang tidak ada langsung manfaat nya kepada masyarakat.

Firman Allah SWT:

إِنَّ الَّذِينَ يُحِبُّونَ أَنْ تَشِيعَ الْفَاحِشَةُ فِي الَّذِينَ آمَنُوا لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ (النور 19)

‘Sesungguh nya mereka yang suka menyebarkan berita yang keji dikalangan mereka yang beriman bagi mereka azab yang pedih didunia dan diakhirat’.
Surah Al Nur Ayat 19.

Peringatan ini adalah cukup jelas dari Allah SWT bahawa mereka yang suka menyebarkan berita berita yang keji, tidak betul, palsu dan berunsur fitnah itu akan menerima azab dari Allah SWT didunia dan akhirat.

Dalam ayat ini Allah SWT telah menyebut perkataan تَشِيعَ, iaitu menyebarkan. Ini lah yang sedang berlaku dihadapan kita sekarang, dua kumpulan mereka yang tidak bertanggung jawab iaitu mereka yang mengada adakan berita palsu dan kedua mereka yang menyebarkan pula berita tersebut.

Menyebarkan berita palsu adalah sesuatu yang bercanggah dengan ajaran Al Quran dan ianya adalah kira sebagai amalan munafik, satu amalan yang menjejaki langkah langkah syaitan dan ianya termasuk didalam amalan melakukan pembohongan yang hukum nya adalah haram dan termasuk didalam kategori dosa dosa besar.

Firman Allah SWT
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَكُونُوا مَعَ الصَّادِقِينَ (التوبة 119)

“Wahai orang orang yang beriman, bertakwa lah kamu kepada Allah dan jadi lah kamu dari kalangan orang orang yang benar’. Surah At Taubah Ayat 119

Kita dituntut untuk berlaku benar didalam perbuatan dan pertuturan kita dan menyebarkan berita palsu tidak termasuk didalam kategori itu.

Sudah menjadi trend juga sekarang ini dimana terdapat sejumlah besar ahli masyarakat kita yang berlumba lumba untuk menjadi orang pertama yang berkongsi berita. Asalkan sahaja sesuatu maklumat sampai ke talipon bimbitnya, tanpa usul periksa tentang kesahihan berita tersebut, ianya akan terus di ‘forward’ kan. Dalam kepesatan dunia teknologi maklumat dihujung jari sekarang ini, berita dan maklumat yang belum tentu sahihnya itu akan tersebar mungkin lebih laju dari tersebar nya virus COVID-19.

Rasulullah SAW telah mengingatkan kita didalam hadith Baginda;

وقد روى الإمام أبو داود في سننه عن النبي صلى الله عليه وسلم أنه قال: (كَفَى بِالْمَرْءِ إِثْمًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ.

Di riwayatkan dari Al Imam Abu Daud didalam Sunan nya dari Nabi SAW telah bersabda; ‘ Cukup lah bagi seorang itu melakukan dosa dengan bercakap dan menyampaikan semua yang didengar nya’.

Apa yang dapat dipelajari dari hadith ini, tidak ada keperluan untuk kita menyampaikan semua yang kita dengar dan terima, apatah lagi kalau sumber berita dan maklumat itu tidak diketahui.

والله تعالى أعلم.

*Datuk Dr. Nasharuddin Mat Isa adalah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Gerakan Kesederhanaan Global (GMM). Di peringkat parti, beliau merupakan mantan Timbalan Presiden PAS (2005-2011).

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili The Malaya Post.

*SubscribeChannel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply