“Saya telah sembah surat letak jawatan sebagai MB Perak, barisan Exco kepada Sultan Nazrin” – Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu

0

“Pada jam 3.00 petang, 5 Disember 2020, saya telah diperkenankan menghadap Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Alhmarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Almarghfullah dan saya amat menjunjung kasih di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan dan di kesempatan berkenaan saya telah menyembahkan warkah perletakan jawatan saya sebagai Menteri Besar Perak Darul Ridzuan dan seluruh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan.

“Saya menyembahkan rasa penghormatan untuk berkhidmat di bawah naungan kerajaan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan.

“Bagi pihak diri saya dan seluruh barisan Ahli Majlis Mesyuarat kerajaan Negeri, saya ingin menyampaikan rasa penghargaan yang tidak terhingga kepada Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, seluruh warga pentadbiran Kerajaan Negeri Perak dan seluruh jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan di Negeri Perak, tentunya pengalaman ini adalah sesuatu yang amat bermakna, penuh dengan pelbagai cabaran,” ujar Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu di majlis sidang media khas hari ini.

Menjawab soalan media , beliau turut berkata terserah kepada Sultan Nazrin untuk beri perkenan bila tarikh peletakkan jawatan berkuat kuasa.

Dato’ Seri Ahmad Faizal juga memohon ampun dan maaf atas segala kekurangan atau setiap satu perkara yang tidak disenangi malah beliau telah mencuba melakukan yang terbaik serta sebagai manusia biasa yang tidak sempurna sudah tentu ada kesilapan dan kelemahan diri.

“Saya mendoakan agar Negeri Perak sentiasa dirahmati Allah SWT, dijauhi dari segala bala dan bencana, dan rakyatnya dikurniakan kebahagiaan di dunia dan akhirat.

“Perjalanan ini masih jauh dan panjang. Jika terselisih bahu, tersinggung siku, tegur-tegurlah mantan Menteri Besar anda ini kerana tentunya saya menganggap setiap seorang dari anda sebagai saudara saya di dunia dan akhirat.

“Kita akan berjumpa kembali tidak berapa lama lagi. Demi rakyat, kerana Allah,” tambahnya.

Dato’ Seri Ahmad Faizal hari ini memperincikan peruntukan kerajaan negeri bagi tahun 2020 dan bajet negeri ini diumumkan ekoran penularan wabak COVID-19 sejak Mac lalu malah Kerajaan Persekutuan telah memperkenalkan empat fasa Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) yang keseluruhannya bernilai RM305 bilion bagi melindungi rakyat dan memulihkan ekonomi.

Kerajaan Negeri Perak telah mengambil tindakan proaktif dengan mengumumkan empat PRE Negeri Perak dengan nilai keseluruhan melebihi RM120 juta atau hampir 28 peratus daripada Belanja Pembangunan tahun 2020.

Sektor perniagaan menerima peruntukan tertinggi RM36.8 juta meliputi bantuan one-off RM1,000 kepada peniaga dan penjaja kecil berdaftar yang dibayar dua kali, pengecualian sewa gerai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk tempoh empat bulan dan inisiatif diskaun bil air kepada pengguna perniagaan serta industri.

Dalam sidang media khas berkenaan beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata bagi membantu sektor pertanian, kerajaan negeri Perak memperuntukan jumlah kedua tertinggi berjumlah RM15.6 juta yang meliputi bantuan kepada penternak akuakultur dan nelayan, Kempen Bumi Hijau dan Projek Pertanian Bandar.

“Sektor pendidikan dan modal insan, peruntukan berjumlah RM13.4 juta disediakan meliputi pengecualian bayaran balik Pinjaman Pendidikan Negeri Perak bagi tempoh Mac hingga Mei 2020.

“Selain itu, pelaksanaan program ‘re-skilling’ dan ‘up-skiling’ turut dilaksanakan kepada golongan yang kehilangan pekerjaan serta hilang punca pendapatan berikutan kelembapan ekonomi.

“Sektor pelancongan menerima peruntukan berjumlah RM10.8 juta bagi pengecualian bayaran pembaharuan lesen hotel dan naiktaraf infrastruktur pelancongan,” ujar beliau.

Malah, sektor kesihatan turut diberi perhatian dengan penyediaan peruntukan berjumlah RM7.1 juta meliputi bantuan kelengkapan perubatan, makanan, kelengkapan pusat kuarantin dan Isolation Care Centre (ICC) serta bayaran elaun khas petugas barisan hadapan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Kerajaan Negeri turut menyediakan insentif berkaitan cukai dan premium tanah meliputi pengecualian denda lewat bagi cukai tanah berulang, pemberian diskaun tunggakan cukai dan diskaun premium tanah sehingga 31 Disember 2020.

“Impak daripada insentif-insentif tersebut, kutipan hasil tanah bagi bulan Jun hingga Ogos 2020 telah dapat ditingkatkan 101.5 peratus iaitu bersamaan RM109.2 juta. Sebanyak RM216.8 juta telah dapat dikutip berbanding RM107.6 juta dalam tempoh yang sama pada tahun 2019.

“Sektor kebajikan dan sosial pula menerima keseluruhan peruntukan berjumlah RM14.4 juta bagi membiayai antaranya Bantuan Kotak Makanan dan bantuan sosial kepada rakyat terkesan termasuk  Orang Asli, pengecualian bayaran sewa Projek Perumahan Rakyat (PPR), Skim Rumah Insan Aman Jaya (SRIA) dan Rumah Harapan,” jelas beliau.

Beliau menyatakan kerajaan negeri juga telah menyalurkan Bantuan Sosial Dan Kotak Makanan berjumlah RM130,000 kepada 59 ADUN di Negeri Perak yang disalurkan secara berfasa, antaranya :

(i) Bantuan pertama disalurkan melalui 59 Pusat Khidmat ADUN pada 23 Mac 2020 sebanyak RM20,000 secara tunai;

 

(ii) Bantuan kedua disalurkan melalui 59 Pusat Khidmat ADUN pada 30 Mac 2020 sebanyak RM20,000 secara tunai

(iii) Bantuan ketiga dan keempat disalurkan kepada 59 kawasan DUN yang diselaraskan melalui Pejabat Daerah Dan Tanah pada 5 Mei 2020 dan 13 Mei 2020 sebanyak RM40,000 melalui agihan Kotak Makanan

(iv) Bantuan kelima disalurkan melalui 59 Pusat Khidmat ADUN pada 1 Disember 2020 sebanyak RM50,000 secara tunai.

Berbicara lanjut, beliau memberitahu unjuran awal yang dibuat sebelum ini menunjukkan akan berlaku defisit sekitar RM40 juta dan ia dijangka akan dapat dikurangkan melalui kutipan hasil tanah sehingga 31 Disember 2020 dan berharap defisit tahunan akan dapat dikurangkan melalui inisiatif-inisiatif yang boleh dilaksanakan seperti :

(i) Memendekkan proses permohonan tukar syarat tanah dan penyelarasan PBT melalui One-Stop Centre (OSC) untuk mempercepatkan kutipan hasil;

(ii) Memberi kelulusan talian rentis Tenaga Nasional Berhad (TNB), tapak saluran paip bagi sistem pembentungan dan pelupusan 10 tapak janakuasa hidro elektrik serta saluran paip bagi projek sistem pengagihan Gas Asli Malaysia

(iii) Menguatkuasakan permit penggunaan ruang udara iaitu pendekatan terhadap pengiklanan khususnya yang melibatkan papan-papan iklan dan billboard yang dipasang pada bangunan untuk dikenakan permit tersebut. Dalam konteks yang sama, terdapat juga menara telekomunikasi yang melibatkan bangunan komersil, institusi keagamaan serta bangunan pejabat yang perlu mempunyai permit ruang udara. Peluasan permit ini berpotensi untuk menjana sumber hasil yang tidak dikutip oleh Kerajaan Negeri selama ini.

Katanya, umum mengetahui bahawa jajaran terpanjang Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) terletak di Negeri Perak. Kerajaan Negeri telah memulakan usaha untuk berunding dengan Kerajaan Persekutuan bagi mempertimbangkan bayaran pampasan Pengubahan Hutan atas pembinaan projek tersebut yang melalui Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Negeri Perak untuk menambah hasil Negeri.

“Bermula tahun 2019, Pihak Berkuasa Negeri telah meluluskan kadar baru penggunaan caj air laut daripada 1 sen kepada 1.5 sen yang akan meningkatkan hasil Negeri hampir RM9.0 juta setahun.

“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri perlu memohon kerjasama dengan TNB untuk menjelaskan tunggakan kutipan hasil tahun 2019 dan bayaran tahun semasa sehingga 30 November 2020 berjumlah RM24.2 juta. Kenaikan setengah sen ini adalah rendah memandangkan Negeri Perak membekalkan hampir 30% daripada jumlah bekalan elektrik Semenanjung Malaysia,” tambah beliau.

Kegiatan perlombongan mineral yang pada suatu masa dahulu menjadi nadi ekonomi negeri Perak masih mampu menjadi penyumbang utama kepada kemakmuran Negeri ini.

Sehubungan itu, kerajaan negeri telah meluluskan Dasar Mineral Negeri Perak yang lebih komprehensif berasaskan konsep kelestarian perlombongan dan penekanan terhadap penggunaan teknologi moden serta pembangunan industri hiliran.

Dasar ini akan memberi tumpuan ke atas ketetapan seperti :

(i) Mensasarkan royalti dengan kenaikan secara berperingkat pada kadar minimum 10 peratus bagi meningkatkan hasil Negeri dan memberi manfaat kepada generasi masa hadapan;

(ii) Mengelakkan risiko ketirisan hasil dan salahguna kuasa melalui pemerkasaan elemen pemakaian sistem. Dalam konteks ini, integrasi penggunaan sistem weighbridge, sistem e-doket dan sistem command centre akan dilaksanakan secara menyeluruh sebagai medium pengawalan dan pemantauan bahan batu serta bahan mineral yang diluluskan. Sistem ini perlu dipantau melalui Jawatankuasa Ketirisan Semak dan Imbang Sumber Hasil Bahan Batu Dan Mineral yang akan bermesyuarat setiap suku tahun dalam memantau output pengeluaran bahan batu dan bahan mineral bagi memastikan sebarang ketirisan hasil dapat dielakkan.

(iii) Menarik pelabur untuk membina pusat pengeluaran dan pemprosesan mineral di dalam Negeri ini bagi mengembangkan industri hiliran yang berkaitan serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Melalui dasar terbabit, pertumbuhan ekonomi akan terus meningkat dan negeri merupakan penerima manfaat yang terbesar dalam rantaian nilai industri dan rakyat Perak harus mendapat nikmat ekonomi terbanyak di dalam khazanah alam semula jadi.

“Saya ingin memaklumkan bahawa aktiviti Non-Radioactive Rare Earth Element (NR-REE) atau Lanthanides telah dimulakan dengan projek rintis di sebidang tanah dalam Daerah Hulu Perak.

“Kerajaan Negeri bekerjasama rapat dengan Kementerian Tenaga Dan Sumber Asli (KeTSA) dan agensi-agensi Kerajaan Persekutuan termasuk Jabatan Mineral Dan Geosains (JMG), Agensi Nuklear Malaysia dan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB).

“Pakar-pakar bebas dan ahli akademik turut sama terlibat di dalam pelaksanaan projek ini yang akan menjadi penanda aras kepada negeri-negeri lain,” ulas beliau.

Dalam pada itu, Dato’ Seri Ahmad Faizal juga menyatakan kegusaran terhadap beberapa projek pembangunan yang lewat dilaksanakan dan mencadangkan semua proses perolehan tender bagi tahun semasa dapat diselesaikan sebaik-baiknya sebelum 30 Jun tahun terbabit.

“Saya berasa bimbang sekiranya jabatan dan agensi yang terlibat gagal merancang pelaksanaan tugas dengan rapi.

“Kebanyakan kegagalan ini berpunca daripada kelewatan memulakan proses perolehan yang seterusnya akan melewatkan pelaksanaan kerja di tapak dan projek tidak dapat disiapkan dalam tempoh yang sepatutnya,” ujarnya.

Beliau turut menyatakan masalah komunikasi antara jabatan dan antara unit di dalam jabatan itu sendiri juga antara penyebab utama berlakunya kelewatan ini.

“Ketua Jabatan perlu berperanan dalam memastikan masalah komunikasi dalaman dapat diatasi sebaik mungkin.

“Jika perlu segera, hubungi terus pihak berkaitan melalui pelbagai alat komunikasi terkini dan disusuli dengan surat rasmi sebagai rekod dan ubahlah cara bekerja demi kebaikan negeri yang tercinta ini.

“Saya memahami beban kerja yang ditanggung jabatan dan agensi, namun itu tidak boleh dijadikan alasan dan rancanglah tugas anda sebaik mungkin dan patuhi perancangan tersebut sebaiknya. If you fail to plan, you plan to fail,” tambah beliau.

Beliau turut menyenaraikan beberapa projek khususnya di Ipoh yang telah berhasil antaranya Pembinaan Struktur Teduhan di Gerbang Malam yang berjumlah RM2.6 juta, dua projek di Taman D.R. Seenivasagam iaitu Outdoor Amphitheatre RM2.0 juta dan Baik Pulih Pagar Taman Jepun RM0.39 juta.

Selain itu, kerja-kerja menaiktaraf dan menyelenggara Kemudahan Infrastruktur Dan Pelancongan Di Sekitar Jambatan Victoria Dan Pekan Karai  bernilai RM0.5 juta dan Naik Taraf Kinta Riverwalk RM0.5 juta.

Kesemua peruntukan ini telah disalurkan dan beliau berharap agensi pelaksana dapat melaksanakan dengan segera kesemua projek ini yang telah tertangguh berikutan pandemik COVID-19.

Antara lain beliau menyatakan Pihak Berkuasa Koridor Utara (NCIA) juga telah memulakan kerja-kerja awalan bagi projek Light and Sound di Ipoh Padang dengan jumlah peruntukan RM3.0 juta.

“Inisiatif ini akan meningkatkan daya tarikan di Bandaraya Ipoh dengan memperkenalkan pendekatan inovatif melalui pemasangan teknologi bunyi dan pencahayaan.

“Projek ini bertujuan memaparkan sejarah dan warisan Bandaraya Ipoh yang dijangka siap pada suku pertama tahun 2021.

“Saya juga berpandangan bahawa sebuah Jawatankuasa Pemantauan dan Penilaian Projek Berimpak Tinggi perlu dibentuk bagi meningkatkan keberkesanan pemantauan dan penilaian pelaksanaan projek-projek utama yang telah dirancang malah dari aspek tadbir urus melibatkan agensi penerima peruntukan Kerajaan Negeri pula Jawatankuasa Audit Khas perlu ditubuhkan,” ulas beliau.

Dato’ Seri Aad Faizal juga menyatakan agensi kerajaan perlu menyelaras semula pengkhususan kerja masing-masing dan setiap agensi perlu lebih terfokus kepada core business atau bidang perniagaan utama penubuhan masing-masing.

“Tanah-tanah milik Agensi juga perlu turut terlibat dalam penyelarasan ini. Contohnya, tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) atau Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc.) yang tidak sesuai untuk tujuan pembangunan komersil atau perumahan, sebaliknya lebih sesuai bagi tujuan pertanian, bolehlah diserahkan semula untuk diusahakan oleh SADC.

“Begitu juga tanah-tanah yang berpotensi untuk tujuan carigali dan perlombongan mineral, bolehlah diberikan kepada MB Inc,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri turut memberi perhatian yang serius dalam usaha untuk menangani isu-isu penerokaan haram dan ketika ini, keluasan usaha haram adalah lebih 12 ribu hektar yang meliputi tanah Kerajaan dan Agensi.

“Penerokaan ini merugikan Kerajaan dan menunjukkan kelemahan pentadbiran. Kerajaan dan penjawat awam bertukar ganti.

“Tetapi masalah ini kekal membelenggu kita. Justeru, Jawatankuasa Setinggan dan Usaha Haram telah ditubuhkan pada tahun 2019 bagi menangani isu ini,” ulas beliau.

Hasil dari usaha ini, MB Inc. telah mengenal pasti 73 kawasan penerokaan haram seluas 7,398 ekar di Daerah Batang Padang, Kinta, Kampar, Larut Matang dan Selama, Manjung serta Hilir Perak.

“Melalui usaha seperti rundingan, bayaran saguhati, sewaan jangka pendek dan panjang, penguatkuasaan di bawah Kanun Tanah Negara dan tindakan mahkamah, isu penerokaan haram khususnya peneroka haram korporat telah berjaya diselesaikan di 12 kawasan seluas 2,527 ekar.

“Bagi peneroka-peneroka kecil yang bergantung kepada usaha tani mereka, MB Inc. mengambil langkah membantu mendapatkan tanah untuk disewa dan usaha ini turut dibuat dengan kerjasama SADC,” kata beliau.

Sebagai agensi peneraju dalam pembangunan sumber mineral, aset dan sumber inovatif yang menjana kekayaan Negeri, antara projek utama yang sedang dilaksanakan oleh MB Inc. adalah :

(i) Pembangunan Industri Hiliran Mineral di tanah seluas 55 ekar di Daerah Kampar

(ii) Pelaksanaan aktiviti berkaitan sumber mineral dan bahan batuan di 66 tapak operasi

(iii) Pembangunan Tapak Warisan Kapal Korek Tanjung Tualang Tin Dredge No. 5 (TT5) meliputi komponen seperti fun maze, bazar dan perniagaan, challenger village, homestay village dan mining village

(iv) Pembangunan 1,628 unit Rumah PerakKu untuk golongan B40 di Daerah Manjung, Kinta dan Kampar yang dijangka siap pada akhir tahun 2021

(v) Projek Urban Farming di kawasan seluas kira-kira 400 ekar di Mukim Tanjung Tualang dan Teja.

MB Inc. juga meneruskan perancangan bagi menjana lebih banyak pulangan dan menyokong agenda pembangunan sosio-ekonomi Negeri Perak.

“Antaranya adalah Projek Pembangunan Bersepadu Stesen Keretapi Ipoh berkonsepkan Transit Oriented Development (TOD) melibatkan usahasama dengan Railway Assets Corporation (RAC).

“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada MB Inc. kerana telah berjaya memperolehi keuntungan berjumlah RM30.0 juta dari 2018 sehingga November 2020, dibandingkan dengan kerugian sebanyak RM40.0 juta dari tahun 2012 ke 2017. Sehingga kini, MB Inc. telah berjaya menyumbang sebanyak RM3.0 juta setahun kepada Kerajaan Negeri dan sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kepada masyarakat berjumlah RM15.5 juta,” tambahnya.

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah meluluskan PRE Fasa 5 sebagai tambahan kepada empat PRE yang telah dilaksanakan dan pihak kerajaan negeri berbesar hati mengumumkan lapan inisiatif di bawah PRE Fasa Lima dengan peruntukan RM9.7 juta menjadikan jumlah keseluruhan PRE Negeri Perak hampir RM130.0 juta pada 11 November lalu.

“Pemberian bantuan one-off pakej data internet atau baucar buku kepada calon SPM, STPM & STAM tahun 2020 yang akan menduduki peperiksaan pada awal tahun 2021 bernilai RM100 seorang yang akan melibatkan kos berjumlah RM5.0 juta;

“Program Pertanian Komuniti yang boleh dilaksanakan di masjid, taman perumahan dan sekolah dengan peruntukan RM2.0 juta. Contoh program Pertanian Komuniti yang telah berjaya adalah di Masjid Jamek Pengkalan Hulu.

“Masjid ini telah memulakan inisiatif menanam cili dengan peruntukan permulaan sebanyak RM5,000 sebagai salah satu usaha untuk menambah pendapatan dan mempelbagaikan aktiviti masjid,” terang beliau.

Selain itu, bagi pemain industri yang benar-benar serius untuk membangunkan Projek Pertanian Komuniti dalam skala besar, PTG akan mengenal pasti tanah-tanah milik Agensi untuk disewakan kepada pengusaha pertanian yang berminat.

“Saya mencadangkan supaya semua Agensi mengambil tindakan segera dalam hal ini dan satu jawatankuasa diwujudkan di bawah PTG bagi memantau pelaksanaan inisiatif ini.

“Tambahan RM1.0 juta untuk Tabung Usahawan pinjaman mikrokredit di bawah Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) dan memperluaskan inisiatif baucar diskaun bagi perniagaan atas talian.

“Melalui PRE Fasa Kedua, peruntukan melebihi RM0.2 juta telah memanfaatkan 6,500 peniaga bazar Ramadan dan usahawan serta memberi peluang pendapatan kepada 4,000 rider seluruh negeri Perak dan jumlah pendapatan keseluruhan kepada usahawan Perak melalui program ini adalah RM1.2 juta,” ujarnya.

Antara lain, melihat begitu ramai rider di tepi-tepi jalan dan kawasan-kawasan tertentu tanpa tempat berehat dan solat yang selesa beliau turut mengesyorkan Majlis Bandaraya Ipoh mengenalpasti lokasi yang bersesuaian bagi tujuan ini.

“Untuk menggalakkan rakyat Perak  berniaga, kerajaan negeri telah meluluskan pengecualian bayaran lesen perniagaan dan penjaja kecil baharu di bawah PBT.

“Inisiatif ini akan memudahkan Kerajaan untuk mengumpul data sebenar peniaga dan melaksanakan program-program keusahawanan dengan lebih bersasar.

“Sebagai tambahan, setiap PBT diwajibkan untuk menyediakan kawasan lapang untuk dijadikan kawasan perniagaan para peniaga dan penjaja kecil secara percuma dan mencadangkan Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri untuk menyelaras dan memastikan inisiatif ini terlaksana,” ucap beliau.

Bagi menambah keberkatan melalui manfaat-manfaat membaca Al-Quran, peruntukan sebanyak RM1.0 juta telah diperuntukkan khusus bagi Bantuan Rumah Ngaji Perak.

“Adalah diharapkan dengan bantuan ini, kita semua akan memperoleh ketenangan jiwa. Bila orang tuduh kita makan syabu, hisap dadah, kita tetap tenang. Hanya Allah Maha Mengetahui

“RM0.2 juta telah disediakan bagi Program TVET khusus untuk golongan OKU. Kerajaan Negeri memahami golongan ini adalah sumber tenaga kerja yang kurang mendapat perhatian dan dimanfaatkan sepenuhnya.

“Seringkali wujud rasa sangsi terhadap kemampuan mereka. Maka, latihan intensif kemahiran yang bersesuaian meliputi kemahiran urutan, spa dan kecantikan, pastri dan lain-lain akan ditawarkan,” ulas beliau.

Penjawat awam merupakan instrumen penting sebagai jentera yang membantu melaksanakan dasar-dasar yang direncanakan. Hakikat yang perlu kita terima, negeri Perak adalah sebuah negeri yang kaya dengan pelbagai sumber.

“Jika kita mentadbir dengan penuh rasa tanggungjawab dan cinta kepada negeri ini, pastinya kekayaan ini dapat terus dimanfaatkan. Jentera pentadbiran kerajaan negeri perlu menyelesaikan segera isu-isu yang membelenggu agenda pembangunan negeri.

“Kita harus terus berusaha sedaya upaya agar setiap urusan yang membawa ke arah kebaikan kepada negeri dipermudahkan, terang beliau.

Jika dimasa lalu, pemimpin adalah bos. Namun kini, ianya sudah berubah. Pemimpin harus menjadi ‘partner’ bagi mereka yang dipimpin dan tidak boleh lagi memimpin hanya berdasarkan kekuasaan struktur semata.

Pelajaran terpenting bagi seorang pemimpin adalah kesanggupan mereka menjadi rakyat.

Kepada pemimpin yang sanggup menjadi rakyat yang baik, maka itulah pemimpin yang baik.

Mental seorang pemimpin haruslah bersikap serta mental kerakyatan kerana rakyat tidak bodoh dan tuli. Mereka tahu siapa pemimpin yang peduli.

Kami warga kerja Portal The Malaya Post sentiasa mendoakan YAB Dato’ Seri Ahmad Faizal Dato’ Azumu akan sentiasa berjaya dan terus menjadi ‘partner’ rakyat.

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

 

Leave a Reply