“Saya serah kepada PKR untuk bincang, pertimbang permohonan sertai PKR” – Salleh Said Keruak

0

Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Seri Salleh Said Keruak menyerahkan sepenuhnya kepada Pucuk Pimpinan Tertinggi Pusat Parti Keadilan Rakyat, PKR untuk berbincang dan mempertimbangkan permohonannya untuk menyertai parti itu.

Memetik kenyataan Dato’ Seri Salleh di blognya,  beliau telah dimaklumkan secara peribadi oleh Presiden PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengenai keahliannya dalam parti.

“Saya faham dan terima mengapa pimpinan pusat PKR memutuskan untuk diberi sedikit masa supaya dapat berbincang mengenai keahlian saya.

“Saya berharap diberikan peluang untuk memberi sumbangan dengan sedaya upaya saya ke arah pemupukan politik progresif berbilang kaum yang mengutamakan kestabilan dan kesederhanaan, untuk negeri Sabah khususnya, dan Malaysia amnya,” kata Dato’ Seri Salleh dalam catatan terbaharu blog beliau sallehsaid.com.

Tambahnya, beliau akan memberi komitmen serta kerjasama dengan PKR dalam menjayakan agenda reformasi dan politik perubahan demi kebaikan rakyat.

“Saya turut akan memberikan komitmen serta kerjasama dengan parti dalam menjayakan agenda reformasi dan politik perubahan demi kebaikan rakyat

Saya menyerahkan kepada parti untuk berbincang dan mempertimbangkan permohonan saya”, katanya.

Semalam memetik laporan Bernama, Dato’ Seri Anwar berkata, PKR tidak ada masalah menerima permohonan keahlian Dato’ Seri Salleh untuk menyertai parti itu, bagaimanapun, pimpinan parti pusat memutuskan untuk diberikan sedikit masa bagi membincangkan lebih lanjut berhubung permohonan berkenaan.

Beliau menjelaskan bahawa ia tidak bermaksud PKR menolak permohonan Dato’ Seri Salleh, namun, pimpinan parti mahu mengambil kira pandangan daripada negeri dan cabang termasuk sentimen ahli PKR di peringkat akar umbi terlebih dahulu, memandangkan Dato’ Seri Salleh adalah seorang pemimpin terkenal dengan kesetiaannya kepada Barisan Nasional dan UMNO.

Leave a Reply