‘Saya berada di tempat, masa yang salah’, ADUN Dengkil percaya beliau diperangkap

0

PUCHONG 3 Jan : “Saya berada di tempat yang salah dan pada masa yang salah,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah sambil menafikan sama sekali dakwaan beliau ditahan polis selepas didapati positif dadah.

Memetik laporan Berita Harian Adhif memberitahu, beliau hadir ke kondominium itu hanya untuk menghadiri sesi perbincangan sahaja dan tidak melakukan sebarang kesalahan mengikut undang-undang.

“Saya tidak boleh memberikan sebarang komen terhadap isu ini kerana ia sedang disiasat malah dinasihati tidak berbuat demikian.

“Namun saya boleh katakan, saya berada di tempat yang salah pada masa yang salah, …malah saya tegaskan bahawa saya berada di pihak yang benar,” katanya.

Ditanya adakah isu itu dirancang pihak tertentu, Adhif berkata, ia tidak mustahil.

“Saya musykil bagaimana laporan itu boleh disebarkan kerana itu hanyalah laporan awal sahaja. Saya juga tidak tahu adakah ada pihak lain yang cuba memainkan isu ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Adhif menjelaskan beliau langsung tidak tertekan kerana tahu diri dan rakan-rakannya berada di pihak yang benar.

“Selepas membantu siasatan, saya kembali ke rumah dan tidur seperti biasa dan hanya mengetahui kekecohan di laman sosial apabila bangun pagi tadi.

“Ketika ini pun saya tidak tertekan dengan pelbagai tohmahan dan tuduhan dan akan seperti biasa meneruskan kerja dan tanggungjawab kepada rakyat sebagai ADUN,” katanya yang mengakui menerima banyak panggilan telefon daripada pelbagai pihak.

Ditanya kekeliruan beliau direman di lokap polis, Adhif menafikan perkara itu sebaliknya menjelaskan bahawa beliau tidak ditahan dan berada di rumah.

“Apa yang diterima oleh ramai hanyalah laporan awal tetapi ia tidak seperti yang digambarkan. Saya bekerjasama dengan baik dengan pihak polis malah pulang lambat semalam kerana membantu siasatan rakan-rakan,” katanya. –THE MALAYA POST

*Subcribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

 

Leave a Reply