Saiful Bukhari sertai BERSATU

0

Bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim, Saiful Bukhari Azlan mengesahkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sebagai wadah politik pertama setelah dua bulan melakukan solat istikharah memohon petunjuk dari Allah SWT.

“Saya juga mendengar pendapat, memikirkan wadah politik yang selari dengan prinsip, dan di rasakan sesuai.

“Dengan rasa rendah diri ingin mengumumkan bahawa saya memilih untuk menanggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia sebagai parti atau wadah politik pertama saya.

“Alhamdulillah, permohonan keahlian saya telah di luluskan semalam, 6hb Januari 2020,” ujarnya.

Menerusi perkongsian di laman Facebooknya, Saiful Bukhari berkata penyertaannya dalam parti politik selaras dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan berpersatuan bagi setiap warganegara.

“Bak kata pepatah, “alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan”.

“Setelah 12 tahun berada dalam kancah politik negara dengan tidak berparti, pada hemat saya, sudah tiba masanya saya memilih satu wadah politik, menjadi ahli secara rasmi.

“Bukan untuk agenda peribadi, tetapi bagi meneruskan perjuangan pada Agama, Bangsa dan Tanah Air,” katanya.

Menurutnya, dalam satu-satu perjuangan adalah lebih baik bergerak secara berjemaah, dari bergerak secara solo.

“Banyak ilmu dan pengalaman boleh saya peroleh, serta berpeluang mencurah bakti pada masyarakat melalui aktiviti parti.

“Terima kasih pada sahabat, rakan-rakan, dan parti-parti lain yang telah mengundang saya sebelum ini.

“Harap tidak berkecil hati. Tidak sertai parti yang di undang, tidak bermakna saya tidak berminat. Perjuangan kita tetap sama iaitu demi agama, bangsa dan tanah air tercinta,” kongsi Saiful.

Berbicara lanjut, Saiful berpendapat politik wajar dijadikan wadah penyatuan, bukan wadah perpecahan.

“Prinsip saya, walau berlainan parti, ideologi politik, saudara tetap saudara, kawan tetap kawan. Silaturrahim wajib di jaga, ia lebih penting dari segalanya. “

“Akhir kata, saya ingin menzahirkan penghargaan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia kerana sudi menerima dan meluluskan permohonan keahlian saya.

“InsyaAllah, sebagai ahli, saya akan memberi taat setia, mendukung matlamat tujuan parti,  melaksanakan dasar-dasar parti, mematuhi perlembagaan, peraturan dan tataetika disiplin parti serta memohon sokongan dan doa rakan-rakan sekalian,” tambahnya.

Saiful Bukhari Azlan kini merupakan Pengasas dan CEO SSP Analytics, sebuah syarikat Firma Penyelidikan, Big Data Analytics dan pembekal peralatan IT yang beroperasi di Kuala Lumpur.

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply