Ringgit catat pengukuhan kecil berbanding dolar AS

0
Pada 9 pagi ini, ringgit mengukuh kepada 4.1885/1925 daripada 4.1905/1950 pada akhir urus niaga Isnin, walaupun terdapat peningkatan mengelak risiko yang ketara menjelang mesyuarat Rizab Persekutuan AS (Fed).

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kemungkinan pihak Fed mengurangkan pembelian aset pada minggu ini, juga berpotensi meningkatkan tarikan dolar AS yang sebaliknya boleh menjejaskan ringgit.

“Pada masa sama, laporan media mengenai masalah yang dihadapi oleh salah satu penggiat utama hartanah China juga mencetuskan kebimbangan mengenai kestabilan kewangan di negara yang juga kuasa ekonomi kedua terbesar dunia itu,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata susulan perkembangan itu bakal menyaksikan ramai peserta pasaran tukaran asing bertindak mencari perlindungan dalam mata wang selamat seperti dolar AS.

Dalam pada itu, sewaktu urus niaga dibuka, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kelompok mata wang utama lainnya.

Ia mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.7175/7236 daripada 5.7339/7400 pada akhir urus niaga Isnin dan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0972/1007 daripada 3.0979/1017, semalam.

Ringgit bagaimanapun susut berbanding yen kepada 3.8226/8270 daripada 3.8200/8241 dan rendah berbanding euro kepada 4.9104/9157 daripada 4.9079/9132 sebelum ini.–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply