Rakyat Singapura jadi perisik China sejak 2016 ditahan di bawah Akta ISA

0

Di Singapura, seorang warga republik itu yang berkhidmat sebagai perisik China sejak 2016 ditahan dua tahun di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Menurut kenyataan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD), Dickson Yeo, 40, yang bertindak sebagai ejen kepada negara asing, menjadi satu ancaman kepada Singapura.

“Siasatan ISD menunjukkan Yeo bekerja sebagai perisik bagi sebuah negara asing dan menjalankan beberapa intipan dengan menerima kadar bayaran tertentu.

“Tertuduh ditugaskan untuk mencari maklumat dan memberi laporan mengenai isu yang ada kepentingan bagi pengendali asingnya, termasuk maklumat berkaitan Singapura.

“Dia mengaku menyedari sepenuhnya bahawa pengendali asingnya bekerja sebagai perisik negara asing bagi memperoleh rahsia kerajaan,” kata ISD.

Lapor Agensi Media, Yeo ditahan ISD pada hujung tahun lalu, sejurus dihantar pulang ke Singapura dari Amerika Syarikat (AS) selepas menjalani hukuman penjara 14 bulan kerana mengintip untuk China di AS.

Dia mendekati pelbagai individu di Singapura bagi mendapatkan maklumat risikan dan menubuhkan syarikat di sini untuk menyembunyikan kegiatan pengumpulan maklumat serta merekrut ejen asing.

Dia juga cuba mendapatkan kerja di sektor awam Singapura bagi tujuan risikan tetapi gagal. Semua ini dilakukan antara 2016 hingga penangkapannya di AS pada 2019.

Menurut ISD, Yeo direkrut oleh ejen China yang mengaku mewakili kumpulan pemikir ketika lawatan ke Beijing pada 2015.

Ketika itu, dia sedang melanjutkan pengajian untuk mendapatkan gelaran doktor falsafah di Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew di Universiti Kebangsaan Singapura.

Dokumen mahkamah AS menunjukkan Yeo mengaku menawarkan wang sebagai pertukaran laporan politik dan maklumat, pada mulanya mengenai Asia Tenggara, sebelum menumpukan kepada AS.

Dia juga banyak kali mengadakan lawatan untuk bertemu ejen China yang berhubung dengannya, memantau laman media sosial untuk mencari sasaran termasuk pernah diarahkan untuk menubuhkan firma perundingan palsu.

Selain itu, Yeo juga pernah mendaftarkan syarikat di Singapura pada awal 2018 dan menerima lebih 400 butiran peribadi, kebanyakannya dalam kalangan tentera dan kakitangan kerajaan dengan kebenaran keselamatan.

Penangkapan Yeo membuka mata pihak berkuasa antarabangsa terhadap dunia perisikan rahsia.

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply