Rakaman audio : Polis sahkan telah rakam keterangan Anwar Ibrahim

0

KUALA LUMPUR : Polis Bukit Aman telah memanggil Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dirakamkan percakapan berhubung siasatan kes penularan rakaman audio perbualan didakwa membabitkan dirinya pagi tadi.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, Datuk Seri Anwar telah hadir ke pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5, JSJ Bukit Aman dengan ditemani oleh peguamnya.

“Kenyataan beliau dirakam di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah manakala siasatan dilakukan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang menyebabkan atau mungkin menyebabkan kegentaran awam.

“Kes berkenaan juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian setelah memperolehi perintah untuk menyiasat mengikut peruntukan Seksyen 108 (2) Kanun Tatacara Jenayah daripada Pendakwa Raya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Datuk Huzir, rakaman audio berdurasi 4 minit 17 saat pebualan antara dua individu yang didakwa mirip suara Datuk Seri Anwar dan Persiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zaid Hamidi tular pada awal April lalu telah mencetuskan kebimbangan dan kegentaran kepada awam yang kemudiannya tampil membuat laporan polis.

Untuk rekod 18 laporan polis telah dibuat membabitkan 17 orang wakil politik dan seorang individu awam.

Laporan berkenaan terarah kepada keperluan untuk siasatan lanjut dilakukan bagi menentukan kesahihan atau mungkin terdapat pihak tidak bertanggungjawab telah memalsukan rakaman audio tersebut dengan tujuan untuk mencetuskan kegentaran awam dan mewujudkan perasaan tidak harmoni di antara kedua-dua parti politik.

“Penularan rakaman audio perbualan tersebut telah memberikan pelbagai persepsi negatif dan menimbulkan kebimbangan masyarakat berdasarkan kepada beribu komen-komen netizen di media sosial memandangkan kedua-dua individu berkenaan adalah merupakan dua orang pemimpin parti yang berpengaruh,” jelas beliau.

Datuk Huzir berkata, tindakan memanggil Datuk Seri Anwar itu, adalah suatu prosedur biasa bagi melengkapkan siasatan.

“Rakaman percakapan beliau (Anwar) diperlukan bagi membantu siasatan tentang sejauh mana rakaman audio itu dapat disahkan sebagai perbualan di antara beliau dengan Datuk Seri Ahmad Zahid.

“Siasatan terperinci juga perlu dijalankan untuk mengenal pasti individu yang membuat rakaman audio berkenaan, motif ia disebarkan dan sama ada wujud modifikasi rakaman oleh pihak-pihak tertentu yang bertujuan untuk menyebabkan atau mungkin menyebabkan kegentaran awam,” katanya.

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply