Putera Philip selamat disemadikan

0

LONDON : Duke of Edinburgh, Putera Philip selamat disemadikan dalam upacara pengebumian yang berlangsung secara tertutup di St George Chapel, Istana Windsor.

Majlis pengebumian Putera Philip dikendalikan oleh Dean of Windsor, David Conner dan Ketua Biskop Canterbury, Justin Welby.

Topi dan pedang tentera laut mendiang diletakkan di atas keranda yang dihiasi kalungan bunga ros putih dan lily daripada Ratu Elizabeth II sendiri.

Lapor BBC, Dean of Windsor, David Conner memberikan penghormatan terakhir kepada Putera Philip atas kesetiaan beliau terhadap Ratu Elizabeth II dan perkhidmatannya kepada negara.

Hadirin yang terdiri dalam kalangan keluarga diraja terdekat itu memakai pelitup muka dan mempraktikkan penjarakan sosial selaras dengan peraturan Covid-19.

Ratu Elizabeth II, 94, yang dilihat pertama kali selepas kematian suaminya, memakai baju serba hitam dan duduk berseorangan.

Terdahulu, anak Putera Philip berjalan mengiringi kenderaan yang membawa keranda Duke of Edinburgh ketika perarakan serta upacara bertafakur selama satu minit bagi menghormati pemergian mendiang.

Keranda Putera Philip dibawa ke St George Chapel menggunakan kenderaan Land Rover yang diubah suai oleh mendiang sendiri.

Puteri Anne dan Putera Charles berada di barisan hadapan, diikuti dengan Putera Edward serta Putera Andrew pada barisan kedua ketika berjalan mengiringi kenderaan tersebut.

Putera William, Peter Philips dan Putera Harry berada pada barisan ketiga ketika berjalan di belakang kenderaan tersebut.

Lebih 730 anggota pasukan tentera, tentera laut dan tentera diraja menyertai majlis tersebut, namun hanya 30 orang dibenarkan berada di dalam St George Chapel disebabkan pandemik Covid-19.

Upacara pengebumian itu disiarkan secara langsung di televisyen dan dapat dilihat oleh seluruh rakyat Britain dan dunia.

Suami Ratu Elizabeth II menghembuskan nafas terakhirnya pada 9 April lalu, dua bulan sebelum menyambut ulang tahun kelahirannya ke-100.

Pasangan diraja itu sudah berkahwin selama 73 tahun.

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply