Pulut lepa juadah tradisi Terengganu

0

Pulut lepa sangat terkenal di kalangan rakyat Terengganu dan Kelantan.

Namun di luar dua negeri ini, ia lebih dikenali dengan panggilan pulut panggang.

Bagi mereka yang kurang mengenali juadah ini, pulut lepa dibuat berasaskan isi ikan yang dimasak bersama santan dan beberapa bahan lain serta pulut yang akan dikukus terlebih dahulu.

Cara pembuatannya amat mudah, bergantung kepada individu sama ada mahu membakar atau memanggang, malah ada juga yang menggoreng pulut lepa agar kerangupan pulut dapat dirasai.

Jika di Terengganu, pulut lepa amat mudah diperolehi malah para penggemar pulut berintikan ikan ini boleh dibeli di gerai-gerai di kampung Ladang yang terletak di Kuala Terengganu.

Bagi melengkapkan keperluan dan peredaran masa atau mungkin kepada anda yang tidak sempat menunggu pulut ini dipanggang secara langsung, atau tidak sempat membeli pulut lepa yang sudah dipanggang, anda boleh membeli pulut lepa sejuk beku (frozen) yang boleh didapati di kedai-kedai makanan sejuk beku dan pasaraya.

Caranya menyediakan pulut lepa sejuk beku agak mudah dan tidak mengambil masa yang lama.

Anda hanya perlu panaskan pulut lepa pada waktu yang diingini dengan menggoreng, mengukus, memanggang atau membakar.

Bagi mereka yang ingin mencuba merasai kelazatan makanan tradisi rakyat Terengganu, anda boleh membeli pulut panggang ini di lokasi yang telah kami senaraikan.

1- Gerai kecil sebelah Hotel & Apartment Sumai, di Batu Buruk.

2- Kedai Pulut Lepa Mok Long di Kg Jeram, berhampiran Pustaka Jeram.

3- Pulut Lepa Bonda di tepi Sekolah Rendah Ladang

4- Pulut Lepa/Panggang Mok Coh – gerai di Jalan Sekolah Kebangsaan Seberang Marang, berhampiran dengan surau.

5- Pulut Lepa Mokde Yah di hadapan surau Ladang.

6- Nah Pulut di Losong.

7- Gerai di hadapan Depo JKR di Kg Bukit, K.Terengganu.

8- Ayam Goreng Mad Corner (AGM) di Pasir Panjang.

Pulut lepa amat sesuai dihidangkan sebagai makanan pagi mahupun minum petang.

Lebih enak dihidangkan sewaktu pulut masih panas, kerana anda akan dapat merasai kelemakkan dan kelembutan pulut bersantan dengan inti ikan yang sungguh lazat!

Jika ke Terengganu, jangan lupa merasai kenikmatan salah satu juadah istimewa ini. –THE MALAYA POST

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel
Untuk perkembangan berita dan isu semasa
tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply