Program CAP-KPT Sinar Harapan bagi Graduan

0

KUALA LUMPUR: “Apabila graduan melihat situasi dari pandangan yang optimistik, semua isu semasa boleh menjadi satu peluang untuk mereka. Percayalah, setiap ujian ada hikmahnya,” ujar graduan ijazah sarjana muda kejuruteraan mekanikal dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Andrew Ang Kian Siang, 24 tahun ketika ditemubual secara eksklusif oleh wartawan The Malaya Post.

Umpama orang mengantuk disorongkan bantal, Andrew yang meminati bidang aeronautik sedari kecil, merasakan inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana)-Program Kemajuan Kerjaya Kementerian Pengajian Tinggi (KPT-CAP) membuahkan satu sinar harapan baharu buat para graduan sepertinya yang terkapai-kapai mencari peluang pekerjaan, terutamanya di saat negara sedang bergelut dengan wabak COVID-19 kini.

Sering membantu ibunya di warung kopi milik keluarga ketika cuti semester, anak bongsu daripada empat adik-beradik ini tekad untuk mengejar impiannya untuk bekerja dalam bidang aeronautik menerusi program Aircraft Manufacturing Technology (Teknologi Pembuatan Pesawat) di bawah usaha Penjana KPT-CAP yang bakal bermula Jan 2021 ini.

“Latihan “aircraft maintenance” ini menarik perhatian saya kerana jarang sekali latihan profesional ini akan dibuka untuk graduan. Kursus ini kebiasannya akan dibuka oleh pihak swasta di mana graduan akan diberikan latihan dan fokus pengajaran kepada kumpulan yang kecil. Saya amat berminat dengan kursus ini walaupun pandemik ini telah menyebabkan kemerosotan ekonomi sektor penerbangan.

“Graduan universiti akan menghadapi situasi yang lebih susah kerana mereka tidak terdedah dengan latihan profesional yang komprehensif. Walaupun saya dianugerahkan ijazah kelas pertama dalam kejuruteraan mekanikal, saya mendapati agak sukar untuk mendapat kerja di sektor swasta kerana kemerosotan ekonomi yang menyebabkan sektor swasta untuk mengurangkan tenaga pekerja professional, tambah lagi dengan kekurangan pengalaman saya dalam bidang mekanikal yang memerlukan latihan,” ujar Andrew yang berasal dari Melaka itu kepada The Malaya Post.

Andrew Ang Kian Siang / Graduan program KPT-CAP

Andrew menceritakan beliau terdetik hati untuk menyertai program itu selepas ketua program mekanikal UMS, Dr Suffian Misaran, yang dapat melihat minat dan potensi Andrew ke aras program penyelanggaraan pesawat, memberitahunya tentang proses pendaftaran program Penjana KPT-CAP.

Bagi Andrew,  peluang keemasan ini tidak akan dipersia-siakan dan akan digunakan sebaik mungkin untuk berbakti kepada keluarga dan negara.

Ketika dunia sedang berperang dengan musuh pandemik COVID-19 yang tidak terlihat oleh mata kasar rakyat Malaysia tidak terkecuali daripada terkena tempias kesan wabak, termasuklah golongan graduan yang baharu mahu memulakan kehidupan berdikari.

Impian mendapatkan pekerjaan stabil bagaimanapun menjadi lebih sukar apabila nasib tidak menyebelahi mereka, ekonomi negara, malahan dunia, teruk merosot sehingga menyebabkan ramai tenaga buruh serta profesional terpaksa berhenti kerja.

Peka dengan situasi ini, kerajaan pantas bertindak, dan menerusi inisiatif Penjana KPT-CAP yang dilancarkan September lalu, graduan negara kini boleh menarik nafas lega dengan usaha yang sedikit sebanyak membantu menangani masalah yang menjurus kepada isu pengangguran itu.

Graduan ijazah sarjana muda pengurusan sumber manusia dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhamad Safii bin Mamat, 24 tahun, yang kini memerah keringat bekerja siang dan malam bagi menjana pendapatan buat keluarga tercinta, berkata pelaksanaan Penjana KPT-CAP memberi sinar harapan kepada graduan baharu sepertinya yang hampir putus asa dalam kepayahan mencari peluang pekerjaan.

Muhamad Safii bin Mamat / Graduan program KPT-CAP

Anak kesepuluh daripada 12 adik-beradik ini berkata beliau terpaksa mengambil kerja-kerja rencam seperti menjadi buruh kontrak pada siang hari dan menjual burger pada waktu malam untuk membantu ibu bapanya yang mencari rezeki sebagai petani dan penoreh getah.

Musim tengkujuh yang melanda pantai timur kini mengakibatkan pendapatan ibu bapanya terjejas, kata anak muda kepada The Malaya Post yang tidak malu digelar anak kampung ketika berkongsi kisah hidupnya sejak tamat latihan industri pada Jun lalu.

Bercita-cita untuk menjadi pegawai pengurusan sumber manusia di syarikat kerajaan, Muhamad Safii berkata dia melihat inisiatif Penjana KPT-CAP 2020 bagaikan cahaya di hujung terowong  apabila ditawarkan menyertai program ‘Young Professional Trucker’ bermula awal tahun depan.

“Sebagai graduan, kesusahan mencari kerja memang terasa sebab saya tinggal di kawasan kampung, jadi peluang pekerjaan itu terhad. Namun, melalui program ni saya dapat rasakan yang peluang saya dalam alam pekerjaan akan menjadi lebih cerah.

“Saya telah memanjangkan perkara ini kepada sahabat- sahabat saya yang juga merupakan para graduan baru yang sedang mencari pekerjaan. Mereka sangat tertarik dengan program yang telah ditawarkan dan untuk masa sekarang, saya dan sahabat- sahabat saya sedang menunggu surat tawaran yang akan dikeluarkan oleh pihak pengurusan UUM yang dijangka akan dikeluarkan pada bulan Disember ini,” ulasnya ketika dihubungi.

Dengan peruntukkan dana sejumlah RM100 juta, KPT menyasarkan sekurang-kurangnya 20,000 graduan bakal menikmati manfaat program KPT-CAP, yang bermula pada 16 Oktober sehingga 31 Disember ini, melibatkan 20 universiti awam, 34 politeknik dan 16 kolej komuniti, dengan pembahagian tiga bidang utama digerakkan iaitu ‘Job Matching and Placement’ (penempatan pekerjaan), Program Berterusan Keusahawanan dan Gig Economy (ekonomi gig).

Penempatan pekerjaan bagi peserta program bermula pada 1 Januari 2021 bersama pihak industri yang terpilih, dan graduan yang berminat untuk menyertai program ini boleh melayari portal ‘Graduates Reference Hub for Employmentvand Training’ (GREaT), http:/great.mohe.gov.my

Dalam pada itu, mengenai pencapaian program Penjana KPT-CAP, pada 13 November lalu, KPT memaklumkan kesemua 30 peserta Kursus Sijil Kecekapan Fiber Optik, yang menyertainya di Kolej Komuniti Arau, Perlis berjaya mendapat tawaran bekerja sebagai Penarik Kabel Fiber (Fiber Puller) di Syarikat Nurkamal Network Sdn Bhd di Alor Setar, Kedah, dengan tarikh mula bekerja pada 1 Januari 2021 dengan gaji RM1,000 sebulan bagi tempoh percubaan.

Program yang dikendalikan oleh NurKamal Network Sdn. Bhd itu disertai oleh graduan dari Kolej Komuniti Arau, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Kolej Komuniti Jempol, Kolej Komuniti Padang Terap, Kolej Komuniti Bandar Darulaman, dan Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Polimas). –THE MALAYA POST

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

 

Leave a Reply