PRK Tanjung Piai : Surat minta ahli PKR tidak keluar mengundi adalah palsu – Fahmi Fadzil

0

Parti Keadilan Rakyat (PKR) menafikan ada mengeluarkan surat meminta ahli parti itu tidak keluar mengundi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, esok.

Berita Harian Online melaporkan, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, berkata surat palsu yang tersebar itu bertujuan mewujudkan salah faham dalam kalangan ahli PKR dan parti lain dalam Pakatan Harapan (PH).

Beliau mendedahkan surat palsu kononnya dikeluarkan Setiausaha Agung PKR itu, direka musuh politik PH menjelang hari mengundi esok.

“Ini adalah tindakan kotor dan terdesak puak yang enggan berpolitik secara sihat. PKR mengulangi sokongan buat calon PH, Karmaine Sardini dan menggesa semua anggota parti untuk mengundi dan membantu memenangkan calon PH,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Surat palsu bertarikh hari ini itu antara lain menyatakan mesyuarat Biro Politik atas arahan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengarahkan ahli parti tidak keluar mengundi di Tanjung Piai, esok.

Turut dinyatakan dalam surat palsu itu, keputusan dibuat kononnya bagi memberi tekanan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, supaya mematuhi perjanjian penyerahan jawatan yang dipersetujui Majlis Presiden PH.

Leave a Reply