PRK Tanjung Piai : BERSATU tidak bersetuju kaji selidik ramal calon BN menang – Dr Rais Hussin

0

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mempertikaikan ketepatan kaji selidik yang meramalkan calon Barisan Nasional (BN) menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, esok.

Ini kerana, tiada petunjuk yang mengukur secara langsung kalah atau menang seseorang calon atau parti, sebaliknya hanya dibuat berdasarkan petanda seperti ‘penolakan pengundi kepada Pakatan Harapan (PH)’ dan ‘penerimaan pengundi kepada Muafakat Nasional’.

Pengerusi Biro Dasar dan Strategi BERSATU, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff, menegaskan tahap tentu sah dan kebolehpercayaan ‘petanda-petanda’ sedemikian kerap dipertikaikan, baik daripada segi logik mahupun bukti empirikal.

Tegasnya, kebolehpercayaan terhadap ramalan itu bergantung kepada beberapa syarat.

Beliau berkata, pemilihan rawak yang dilakukan perlu mematuhi piawaian dan prosedur amalan saintifik, di mana setiap seorang daripada 52,978 pengundi berdaftar mempunyai peluang untuk dipilih secara saintitik.

Menurut laporan Berita Harian Online, walaupun piawaian itu dipenuhi, ramalan yang dilakukan tetap tertakluk kepada sekurang-kurangnya 5.65 peratus ralat dalam membuat anggaran atau ‘margin of error’.

“Ramalan statistik yang berdasarkan Daerah Mengundi (DM) tidak wajar diterima memandangkan dalam senario terbaik untuk dianalisis, hanya terdapat sekitar 11 responden yang mewakili setiap DM,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ramalan Institut Integriti dan Strategik Terengganu (TSIS) yang dilaporkan semalam itu dibuat berdasarkan keputusan analisis ke atas 300 responden dalam kalangan pengundi berdaftar yang dipilih secara rawak.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat BERSATU itu berkata sekali imbas, kaji selidik itu mematuhi amalan saintifik daripada segi sampel dan persampelan terutama dengan menggunakan teknik pemilihan rawak.

Bagaimanapun, katanya persoalan timbul, sama ada orang ramai sebagai pengguna maklumat kritis boleh menerima dan mempercayai keputusan dan ramalan yang dipaparkan.

“Rumusannya, ramalan yang dikemukakan oleh kajian itu sesuai untuk dibaca dan dijadikan panduan, malah diberi pertimbangan jika perlu, tetapi masih belum cukup mantap untuk dipercayai sepenuhnya,” katanya.

PRK Parlimen Tanjung Piai menyaksikan pertembungan enam penjuru antara calon BERSATU daripada PH, MCA daripada BN, GERAKAN, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) dan dua calon BEBAS.

Leave a Reply