PRK Batu Sapi dibatalkan

0

Yang di-Pertuan Agong berkenan membatalkan Pilihanraya Kecil (PRK) Batu Sapi Sabah dan ditunda pada satu tarikh yang akan ditentukan kelak.

Menerusi pengumuman khas yang dibuat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau berkata keputusan dan langkah ini dibuat setelah mengambil kira nasihat Jemaah Menteri dan Peguam Negara dalam mesyuarat pada 13 November lalu.

“Pengisytiharan darurat dilaksanakan dibawah Perkara 150 yang dibaca bersama Fasal (1) dan (1A) Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan bagi Bahagian Pilihan Raya Kecil Parlimen P.185 Batu Sapi, Sabah dan memasyhurkan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2020.

”Ia membolehkan Pilihan Raya yang dijadualkan pada 5 Disember 2020 tersebut dibatalkan dan ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditentukan kelak,” katanya dalam satu siaran akhbar.

Perdana Menteri menjelaskan, tujuan tindakan darurat dilaksanakan yang membawa kepada penangguhan Pilihanraya adalah kerana ingin membendung penularan COVID-19 di Batu Sapi yang merupakan kawasan merah.

Beliau turut mengambil iktibar dimana Pilihanraya Umum Negeri Sabah yang dijalankan pada bulan September lalu telah memberi impak buruk kepada penambahan secara mendadak mangsa positif pandemik ini. Hingga hari ini, Sabah merupakan negeri paling tinggi mangsa positif COVID-19.

Beliau menyatakan jika Pilihanraya ini diteruskan, jelas ia akan menjadi faktor ancaman terhadap kesihatan awam. Walaupun Standard Operating Procedure (SOP) yang ketat boleh ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya, namun pematuhan kepada SOP amat lemah dan menyebabkan penularan wabak sukar dibendung.

Dalam pada itu, pihak SPR turut menghadapi kekangan untuk mendapatkan petugas pilihan raya disebabkan kebimbangan mereka sendiri berkemungkinan terkena jangkitan COVID-19 ketika bertugas.

“Risiko jangkitan di kalangan petugas pilihan raya tidak boleh dipandang ringan kerana mereka akan berurusan secara langsung dengan para pengundi yang berkemungkinan terdedah kepada wabak COVID-19.

“Pihak Jemaah Menteri turut mengambil kira pergerakan rentas daerah dalam kalangan petugas pilihan raya dan pengundi yang tidak dapat dielakkan jika Pilihanraya diteruskan.

“Ini akan meningkatkan risiko penularan COVID-19 ke daerah-daerah lain di negeri Sabah,” ulas beliau.

Perdana Menteri turut mengambil berat akan kemungkinan kesan keatas kehidupan sosial dan ekonomi penduduk di Batu Sapi dan Daerah Sandakan sekiranya penularan COVID-19 berlaku secara mendadak selepas pilihan raya kecil diadakan.

“Pada waktu ini pun, kesan ekonomi telah amat dirasai oleh rakyat yang terpaksa melalui kehidupan yang sukar. Ada yang telah mengalami kehilangan pekerjaan dan putus mata pencarian akibat wabak ini.

“Kerajaan sedang berusaha untuk mengawal penularan COVID 19 terutamanya di negeri Sabah yang pada masa ini telah menunjukkan tanda-tanda positif dengan jumlah kes baharu semakin berkurangan,” kata beliau.

Perdana Menteri menekankan Darurat yang diisytiharkan hanyalah bertujuan untuk membatal dan menangguhkan Pilihan Raya. Ia demi melindungi nyawa rakyat.

“Kehidupan rakyat di Batu Sapi tidak akan terjejas dengan perisytiharan darurat ini.

“Tidak ada Perintah berkurung atau pemerintahan ala tentera di Batu Sapi. Pentadbiran kerajaan, kegiatan ekonomi dan aktiviti sosial dapat diteruskan tertakluk kepada amalan norma baharu dan peraturan serta SOP di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang sedang berkuatkuasa di negeri Sabah,” ujar beliau.

Beliau memberi jaminan bahawa apabila pandemik COVID-19 berakhir, PRK Batu Sapi akan diadakan dengan kadar segera tertakluk kepada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Apabila PRK diadakan kelak, para pengundi akan dapat melaksanakan hak demokrasi masing-masing dalam keadaan yang lebih selamat, aman dan tenteram,” tambah beliau.

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply