Potret yang dilukis oleh seorang gadis berbakat besar, temukan Ben Amir dengan peminat istimewanya

0

Kerana begitu meminati aktor popular menerusi drama bersiri Sweet Dreams yang telah mencetuskan fenomena di kalangan para penonton, seorang peminat Nur Fariza melukis sebuah potret wajah pelakon Ben Amir.

Karya seni potret yang dilukis oleh peminat setianya itu yang juga seorang Orang Kelainan Upaya (OKU), mengambil masa selama dua minggu untuk disiapkan sepenuhnya.

Beberapa foto Ben Amir yang dikongsi oleh adik Nur Fariza di media sosial bukan sahaja membuatkan warga maya terpegun dan kagum dengan bakat terpendam gadis berbadan kerdil ini malah ia turut menarik minat pelakon itu sendiri.

Setelah foto berkenaan tular, bekas finalis Hero Remaja tahun 2011/2012 telah berkongsi fotonya sambil memegang potret bersama keluarga Nur Fariza.

Ternyata pelakon dan model kacak ini menemui peminatnya untuk melihat sendiri hasil potret terbabit dan menyatakan hasrat untuk membeli potret yang dilukis oleh gadis istimewa itu.

Menerusi perkongsian di entri laman Twitternya, Ben Amir berharap agar kisah Nur Fariza dapat memberi inspirasi kepada masyarakat supaya terus berusaha dalam apa jua perkara yang diingini.

Pelakon kelahiran Kuala Lumpur ini turut berjanji akan menggantungkan potret berkenaan di dinding rumahnya tanda menghargai usaha dan kebolehan peminat istimewanya itu.

Begitulah hebatnya kuasa viral hingga berjaya menemukan seorang pelakon popular dengan peminat setianya.

Semoga adik Nur Fariza berjaya dalam mengembangkan bakat seni lukisnya dan kepada pelakon Ben Amir, diharap sikap rendah diri dan menghargai peminat dapat dikekalkan walau berada dikemuncak populariti.

Leave a Reply