Positif COVID-19, paru-paru dijangkiti kuman penyanyi Roy redha dengan ujian

0

Penyanyi terkenal tanah air era 90-an, Roy atau nama sebenarnya Mohammad Rauzan Alwi disahkan positif COVID-19 dan terkini masih dikuarantin serta menjalani rawatan di Hospital Sungai Buloh.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Kau Ratnaku itu turut dimaklumkan penyakitnya berada pada tahap empat.

“Hasil pemeriksaan, doktor memaklumkan keadaan saya kritikal, tetapi masih boleh dikawal,” katanya.

Bercerita pengalamannya, penyanyi berusia 57 tahun ini mengalami sesak nafas serta batuk kuat lalu ke klinik swasta untuk mendapatkan rawatan.

Hasil pemeriksaan mendapati paru-parunya dijangkiti kuman dan dinasihatkan segera ke hospital untuk tindakan susulan.

Roy dimasukkan ke Hospital Banting sejak Sabtu lalu sebelum dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Saya terima berita ini dengan tenang kerana memang sudah dijangka,” kata Roy redha walaupun kurang pasti bagaimana dirinya boleh dijangkiti pandemik ini.

Mengulas keadaan keluarganya, mereka kini sedang menjalani tempoh kuarantin di rumah.

“Setakat ini, keluarga saya okay, tetapi mereka perlu menjalani kuarantin kendiri di rumah.

“Restoran kami di Banting ditutup buat sementara waktu.Tiada siapa yang mahu dijangkiti virus ini, namun saya reda dan tawakal kepada Allah dengan apa yang berlaku.

“Terima kasih kepada peminat yang sentiasa mendoakan kesihatan saya kembali pulih seperti sedia kala,” ujarnya.

Dalam pada itu, alumni program Gegar Vaganza musim keenam di saluran Astro itu menzahirkan rasa terharu, bersyukur dan berterima kasih di atas sumbangan berbentuk wang yang diterima daripada rakan artis dan peminatnya.

Untuk rekod, penyanyi kelahiran Muar Johor yang sinonim dengan lagu patriotik dan selesa menyampaikan genre R&B ini juga bertindak sebagai pensyarah vokal kumpulan koir di pelbagai Institusi Pengajian Tinggi dan agensi kerajaan sejak beberapa tahun lalu antaranya  kumpulan koir di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Semoga Roy diberi kekuatan dan kesembuhan segera.

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply