Polis nafi dakwaan aktivis dipaksa bogel dalam tahanan

0

Polis menafikan dakwaan seorang aktivis, Sarah Irdina dipaksa untuk membuka pakaian dan berbogel ketika berada dalam pusat tahanan.

Menurut Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai dalam satu kenyataan malam tadi sel lokap berkenaan hanya ditempatkan petugas dan tahanan wanita sahaja.

Tambahnya petugas atau tahanan lelaki adalah tidak dibenarkan lalu atau masuk ke kawasan terbabit.

“Proses penempatan dia ke dalam lokap adalah menepati prosedur yang ditetapkan mengikut Kaedah-Kaedah Lokap 1953 (L.N.328/1953) dan Perintah Tetap Ketua Polis Negara A118.

“Sebelum dimasukkan ke dalam sel, setiap tahanan akan dibawa ke dalam bilik khas untuk diperiksa oleh petugas lokap (anggota wanita) bagi memastikan tiada sebarang kecederaan fizikal dan tiada barang salah dibawa masuk ke dalam lokap,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

ACP Eng Lai berkata, seterusnya Sarah menukar pakaiannya kepada pakaian lokap warna ungu.

“Proses menukar pakaian ini dilakukan di dalam bilik khas yang tidak boleh dilihat oleh orang lain.

“Sepanjang penahanannya di dalam lokap, prosedur operasi standard (SOP) lokap dipatuhi sepenuhnya,” katanya.

Aktivis berkenaan ditahan dan dibawa ke Lokap Berpusat Kuala Lumpur, Jinjang pada 7 malam, 29 Julai lalu atas kesalahan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Sarah Irdina berusia 20 tahun ditahan polis bersabit akaun Twitter MISI : Solidariti yang dikendalikannya.

Dia bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis pada 12.30 tengah malam, 30 Julai lalu.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan sebarang maklumat yang tidak sahih dan boleh menimbulkan kegusaran. –THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply