Polis akan rakam keterangan Najib, Rosmah

0

KUALA LUMPUR 17 Jan : Polis akan merakam keterangan Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dalam waktu terdekat.

Ia bagi membantu siasatan kes berkaitan sembilan rakaman audio yang didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, SPRM.

Menurut laporan Berita Harian, turut akan dipanggil bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Perkara itu disahkan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid.

“Kita akan panggil semua saksi dikaitkan dengan sembilan rakaman audio berkenaan. Insya-Allah (kita akan rakam keterangan mereka) dalam masa terdekat,” katanya.

Isnin lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, memberi keterangan selama hampir empat jam kepada polis berkaitan rakaman audio berkenaan.

Selain Latheefa, turut memberi keterangan ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki dan lima pegawai suruhanjaya itu.

Pada 8 Januari lalu, SPRM mendedahkan nama 20 individu termasuk Najib, Rosmah, Dzulkifli dan Abdul Azeez yang perbualan mereka dirakam, sama ada terbabit dalam perbualan atau disebut mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC).

Senarai itu yang juga membabitkan beberapa tokoh kenamaan asing, diperoleh daripada sembilan set rakaman perbualan selama 45 minit yang diperdengarkan SPRM pada satu sidang media.

Semua rakaman perbualan yang didedahkan itu dipercayai berlaku di antara 5 Januari hingga 29 Julai 2016, diperoleh SPRM awal tahun ini daripada entiti tidak didedahkan, namun SPRM yakin rakaman terbabit adalah tulen. –THE MALAYA POST

*Subcribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

 

Leave a Reply