Polis akan panggil Anwar Ibrahim ke Bukit Aman dalam waktu terdekat – Pengarah JSJ

0

Polis akan memanggil Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi merakam keterangan beliau bersabit siasatan dakwaan perlakuan tidak senonoh terhadap bekas penyelidik di pejabat PKR, Muhammed Yusoff Rawther.

Perkara itu disahlan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed.

Katanya keterangan Presiden PKR itu dan beberapa saksi lain turut akan direkod selepas polis mendapat tarikh temu bual yang sesuai.

“Rakaman percakapan pengadu, Muhammed Yusoff, sudah diambil di pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

“Polis turut merampas kertas akuan bersumpah yang dibuat pengadu. Kertas siasatan akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Datuk Huzir menggesa orang ramai berhenti membuat sebarang spekulasi bagi memberi ruang polis menjalankan siasatan tanpa gangguan.

“Sebarang kenyataan atau artikel berkaitan perkara ini tidak sewajarnya dimuat naik atau dikongsi dalam media sosial.

“Penularan kenyataan dan bahan berkaitan isu ini dikhuatiri akan menimbulkan suasana tegang di dalam negara,” katanya.

Datuk Huzir berkata, pihaknya boleh mengambil tindakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 terhadap individu yang menyebarkan maklumat palsu.

Leave a Reply