PN ada strategi tersendiri namun masih buka pintu kerjasama dengan UMNO

0

Perikatan Nasional (PN) akan menggunakan pendekatan dan strategi tersendiri tanpa UMNO dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Namun, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, jika UMNO berubah fikiran untuk bekerjasama, ia akan dibincangkan dalam kalangan pemimpin tertinggi PN.

Apa yang penting ketika ini kata Dato’ Seri Hamzah adalah untuk memilih pemimpin yang mempunyai integriti dan mempunyai semangat bagi menyatupadukan parti-parti politik Melayu di negara ini.

“Kita tidak mahu melihat pemimpin yang hanya pandai bercakap sehingga menyebabkan perpecahan. Kita nak supaya pemimpin itu adalah seseorang yang sentiasa mahukan penyatuan di kalangan kita.

“Jadi rakyatlah yang akan tentukan masa depan. Kalau dia tidak mahu, saya sebagai Setiausaha Agung PN akan melakukan mengikut strategi Perikatan Nasional sendiri.

“Tapi kalau beliau juga mahu untuk duduk, saya serahkan kepada pemimpin-pemimpin Perikatan Nasional untuk duduk berbincang bagi menentukan masa depan rakyat terutamanya mereka di Melaka itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Penyampaian Kotak Makanan Serta Ramah Mesra Bersama Penduduk Kampung di Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Ara, Batu Kurau, Perak pada Sabtu.

Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi gambaran partinya akan bergerak secara solo dalam PRN Melaka sekiranya ia diadakan kelak walaupun parti-parti yang mendokong kerajaan PN dilihat masih mahu mempertahankan kerjasama erat bersama UMNO.

Semalam, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pula berkata, parti itu tidak akan ‘gopoh’ dalam menentukan kerjasama dengan mana-mana parti bagi menghadapi PRN Melaka.

Sebaliknya, kata Ahmad Maslan, parti itu sedang mengumpulkan maklum balas daripada semua pihak termasuk pimpinan di peringkat bahagian sebelum ianya diputuskan oleh pucuk pimpinan parti.–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply