PM sertai Sidang Kemuncak NAM secara atas talian petang ini

0

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menyertai Sidang Kemuncak Secara Atas Talian bagi Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dengan tema “Bersatu Menentang COVID-19” yang akan diadakan secara sidang video pada petang ini.

Sidang Kemuncak berkenaan merupakan penyertaan pertama Tan Sri Muhyiddin Yassin di arena NAM semenjak dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8.

Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan media menyatakan Sidang Kemuncak terbabit akan dipengerusikan oleh Presiden Republik Azerbaijan, TYT Ilham Aliyev, yang juga merupakan Pengerusi NAM bagi penggal 2019-2022 dan ia adalah bagi mempromosikan solidariti dalam menentang wabak COVID-19.

Sebagai memperingati sambutan Hari Multilateralisme dan Diplomasi untuk Perpaduan Antarabangsa yang disambut pada 24 April setiap tahun, Sidang Kemuncak ini juga akan menekankan nilai-nilai multilateralisme dalam menangani cabaran-cabaran yang dihadapi oleh negara-negara ahli NAM untuk menentang wabak COVID-19.

Semasa Sidang Kemuncak ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadualkan akan menyampaikan kenyataan yang bakal mengetengahkan strategi Malaysia dalam menangani kesan-kesan COVID-19 di peringkat nasional dan dijangka akan menekankan kepentingan perpaduan dalam kalangan ahli-ahli NAM dalam mengekang penularan virus COVID-19 dan menentang wabak tersebut.

Sidang Kemuncak ini akan dihadiri oleh ketua negara dan kerajaan negara-negara ahli NAM yang akan dikenali sebagai “NAM Contact Group”, beriltizam untuk mempromosikan perpaduan bagi menentang wabak ini.

Selain itu, Presiden Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ke-74, Tijjani Muhammad-Bande, Ketua Pengarah Organisasi Kesihatan Dunia (WHO), Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus, dan Pengerusi Suruhanjaya Kesatuan Afrika, Encik Moussa Faki Mahamat.

Setiausaha Agung PBB, António Guterres juga dijangka akan mengambil bahagian semasa persidangan ini dan menyampaikan mesej secara rakaman awal.

Sidang Kemuncak ini dijangka akan menerima pakai satu deklarasi sebagai tanda kesepakatan NAM dalam menggesa hubungan kerjasama yang lebih kukuh di peringkat antarabangsa bagi menentang wabak COVID-19.

Malah deklarasi terbabit juga akan meluluskan penubuhan Pasukan Bertindak NAM bagi mengenalpasti keperluan sosial dan kemanusiaan negara-negara Ahli NAM dalam memerangi COVID-19.

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply