PM kongsi enam langkah mendepani impak COVID-19 di Sidang Kemuncak NAM

0

Pada persidangan video Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) Berhubung COVID-19 Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkongsi enam langkah yang diambil kerajaan dalam mendepani impak COVID-19 terhadap negara, sekaligus memastikan Malaysia bangkit lebih kuat dalam menangani kesan wabak tersebut.

Langkah pertama yang dilakukan kerajaan ialah tekad (resolve) untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 melalui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Hasilnya, PKP yang dimulakan pada 18 Mac telah membuahkan hasil apabila menyaksikan penurunan kes positif baharu harian, peningkatan jumlah kes sembuh dan kadar kematian yang rendah iaitu hanya 1.7 peratus.

Turut dikongsi ialah tindakan kerajaan memperkenalkan tiga pakej rangsangan ekonomi bagi memastikan daya tahan ekonomi (resilience) akibat faktor luaran seperti kelembapan perdagangan global, kejutan dalam penawaran dan permintaan serta faktor dalaman, antaranya penurunan perbelanjaan akibat pelaksanaan PKP.

Menurutnya, langkah ini bertujuan menyokong pendapatan rakyat semasa PKP dan melaksanakan langkah-langkah bagi memulakan ekonomi setelah sekatan PKP di tarik balik.

“Saya juga memaklumkan yang Malaysia pada hari ini telah memulakan langkah ketiga pelan menangani kesan COVID-19 dengan memulakan semula (restart) sektor ekonomi secara menyeluruh dalam keadaan teratur dan terkawal.

“Saya tegaskan bahawa walaupun sebahagian besar sektor ekonomi dibuka semula hari ini, sebarang perhimpunan yang melibatkan ramai orang masih tidak dibenarkan.

“Ini adalah tindakan penyeimbangan yang cuba dicapai oleh Malaysia – antara memulakan ekonomi dan kepentingan untuk mematuhi SOP baharu bagi mencegah gelombang jangkitan di kalangan rakyat”, ujar beliau.

Perdana Menteri turut menarik perhatian anggota persidangan bahawa Malaysia masih menguatkuasakan fasa keempat Perintah Kawalan Pergerakan yang akan berlangsung sehingga 12 Mei ini.

Beliau menekankan strategi pemulihan ekonomi (recovery) Malaysia dalam menghadapi era ‘norma baharu’ pasca COVID-19 akan disusuli dengan revitalisasi (revitalize) ekonomi serta reformasi (reform) struktur ekonomi secara menyeluruh.

Dalam pada itu, beliau mengalu-alukan penubuhan Pasukan Petugas NAM yang berperanan mewujudkan pangkalan data bersama bagi keperluan perubatan asas serta mengenal pasti keperluan sosial dan kemanusiaan negara-negara anggota dalam usaha memerangi Covid 19.

“Bagi saya, ini adalah masa yang tepat untuk negara-negara anggota NAM bersatu dan membuktikan bahawa jika kita berpegang teguh pada prinsip dan nilai kebersamaan, kita akan dapat mengatasi wabak dan muncul lebih kuat dalam susunan global baharu pasca COVID-19.

“Kebimbangan Malaysia ialah jika kita tidak bersatu, negara-negara kecil akan terpinggir apabila ubat dan vaksin dibangunkan oleh syarikat farmasi besar di negara-negara maju.

Kita mesti mengutuk sekeras-kerasnya sebarang bentuk pengisytiharan yang meminggirkan kepentingan negara anggota NAM apatah lagi di saat dunia sedang berdepan krisis Covid-19 ini.

Malaysia percaya, NAM perlu memperjuangkan perolehan bekalan ubatan dan vaksin bagi negara-negara yang lebih kecil”, tambahnya.

Malaysia turut mengalu-alukan inisiatif Azerbaijan untuk mempromosikan nilai-nilai multilateralisme melalui sidang kemuncak secara dalam talian ini.

Perdana Menteri menjelaskan bahawa Malaysia komited untuk bekerjasama dengan semua negara-negara NAM, bukan sahaja dalam isu COVID-19 tetapi juga hal-hal lain yang memberi manfaat bersama kepada rakyat.

#StayAtHome
#staySafe
#stayHealthy
#BreaktheChain
#StrongerTogether
#dudukRumah
#KitaMestiMenang

– THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Sebentar tadi saya mengambil bahagian dalam Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) Berhubung COVID-19…

Dikirim oleh Muhyiddin Yassin pada Senin, 04 Mei 2020

Leave a Reply