PKR : Kenyataan YB Zuraida jelik, wajar dikenakan tindakan tegas dan keras

0

Kemelut dalam PKR semakin panas apabila wujud cadangan supaya Naib Presiden PKR, YB Zuraida Kamaruddin dikenakan tindakan tegas dan keras kerana secara melampau telah menyerang pemimpin utama parti itu.

Ketua Penerangan PKR, Dato’ Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata tuduhan yang dilemparkan YB Zuraida terhadap Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah satu sifat bongkak jelik.

“Saya turut difahamkan bahawa di dalam majlis itu YB Zuraida juga dengan bongkaknya telah membongkar beberapa perkara yang kononnya merupakan perbualan beliau dengan Presiden PKR.

“Ini merupakan satu sifat jelik yang mana isi butiran sesuatu perbincangan dengan presiden adalah satu amanah yang perlu dijaga dan tidak sewajarnya didedahkan kepada khalayak umum melainkan beliau mempunyai agenda tertentu terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

“Sehubungan dengan itu, saya akan mencadangkan kepada Lembaga Disiplin Parti PKR untuk mengambil tindakan yang tegas dan keras terhadap YB Zuraida Kamarudin perkara- perkara yang telah dilakukan oleh beliau ini jelas melanggar etika dan disiplin parti,” katanya dalam satu kenyataan petang ini.

Pada 6 Dis lalu, YB Zuraida dilaporkan mendakwa Dato’ Seri Anwar Ibrahim pernah cuba meyakinkannya bahawa video seks Dato’ Seri Azmin Ali memang individu yang dirakam dalam video seks beberapa bulan lalu.

Dalam usaha untuk meyakinkannya, kata YB Zuraida lagi, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mendakwa bahawa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah memintanya untuk memecat Dato’ Seri Azmin.

Bagaimanapun YB Zuraida berkata beliau tidak yakin dengan dakwaan itu.

“(Jumpa Anwar) beberapa bulan lalu. Dia kata video itu memang Dato’ Seri Azmin, polis kata Dato’ Seri Azmin. Saya kata kalau (benar) Dato’ Seri Azmin, biarlah polis siasat dan Dato’ Seri Azmin kena terima kalau (video tersebut) betul.

“Dato’ Seri Anwar Ibrahim kata dia (Azmin) macam adiknya dan kasihan kepadanya. Jadi saya kata kalau kasihan, tolonglah dia.

“Lepas itu dia kata Tun Mahathir suruh (Anwar) pecat Dato’ Seri Azmin. Tapi kalau (benar) suruh pecat, kenapa Tun Mahathir keluarkan empat kenyataan (menyatakan Azmin) tak perlu cuti.

“Dia kata anda tak tahu Tun Mahathir…Memang saya tak kenal Tun Mahathir, (tetapi) saya (juga) tak kenal anda,” katanya kepada kira-kira 2,000 hadirin di program yang mengumpulkan penyokong Dato’ Seri Azmin di Kuala Lumpur.

Tambah Dato’ Seri Shamsul lagi, kemelut yang melanda parti pada kongress di Melaka baru-baru ini jelas menunjukkan pergeseran dalaman parti sedang berlaku.

“Namun perkara ini sedaya upaya sedang cuba diselesaikan oleh Presiden PKR yang dengan jelas dan tuntas menyatakan di dalam ucapan beliau dan kepada media bahawa satu titik temu penyelesaian perlu dicari serta dicapai bagi merungkai masalah yang sedang berlaku.

“Ini juga selaras dengan langkah bagi meneruskan musyawarah selepas pertemuan Presiden dengan Timbalan Presiden, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali di bangunan Parlimen sebelum kongres berlangsung di Melaka pada 4 Disember 2019 lalu,” katanya.

Leave a Reply