Peti sejuk beku tidak berfungsi, lebih 1,000 dos vaksin rosak di Jepun

0

Institusi perubatan di Jepun melaporkan, 172 botol vaksin Pfizer BioNTech, yang mesti disimpan antara -80 hingga -60 darjah selsius, tidak boleh digunakan selepas peti sejuk yang menyimpan vaksin terbabit rosak membabitkan 1,032 dos, menurut Kementerian Kesihatan Jepun.

Jepun memulakan program inokulasi pada 17 Februari lalu iaitu hanya lima bulan sebelum Sukan Olimpik Tokyo, setakat ini hanya meluluskan vaksin jenis Pfizer BioNTech.

Jurucakap kerajaan Jepun, Katsunobu Kato berkata punca kerosakan belum dikenal pasti, tetapi firma yang membekal peti sejuk akan menyiasat dan melaporkannya kembali.

Kato berkata Jepun telah menyediakan kira-kira 100 buah penyejuk beku vaksin di seluruh negara terbabit pada akhir Februari lalu.

“Kami ingin segera bertindak balas terhadap apa yang diperlukan, berdasarkan hasil penyelidikan yang dilakukan oleh syarikat yang membekalnya,” kata Kato.

Jepun mula melakukan vaksinasi terhadap pekerja kesihatan pada pertengahan Februari lalu, dengan menteri yang bertanggungjawab atas proses itu mengakui beliau tidak pasti berapa ramai penduduk yang akan menerima suntikan sebelum Olimpik, yang dijangka berlangsung pada 23 Julai akan datang.

Pada 1 Mac lalu , negara matahari terbit itu telah memberikan suntikan pertama kepada hampir 32,000 doktor dan jururawat, menurut menteri Taro Kono.

Negara ini telah mencapai perjanjian dengan tiga syarikat ubat utama untuk membeli suntikan yang mencukupi bagi kira-kira 126 juta populasi penduduk.

Dalam masa yang sama, negara terbabit berusaha mendapatkan jarum suntikan khas yang diperlukan untuk mengeluarkan enam dos penuh dari setiap botol vaksin Pfizer.

Jepun menjalani program pelancaran dengan berhati-hati dan pada awalnya merancang untuk memberi vaksin kepada 40,000 pekerja kesihatan di seluruh negara, sebelum memberikan lebih banyak suntikan kira-kira 3.7 juta pekerja pada bulan ini.

Vaksinasi kepada 36 juta rakyatnya yang  berusia 65 tahun ke atas dijadualkan bermula bulan April depan.

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply