Pesalah jenayah pemerdagangan manusia bakal berhadapan hukuman lebih berat – Hamzah

0

Pesalah jenayah pemerdagangan manusia bakal berhadapan hukuman lebih berat termasuk cadangan penjara seumur hidup.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, tindakan itu menunjukkan komitmen kerajaan dalam membanteras kegiatan berkenaan di negara ini.

Katanya, kegiatan pemerdangan manusia sama seperti amalan perhambaan moden, yang menafikan kebebasan, maruah serta hak asasi berjuta mangsa di seluruh dunia.

“Berdasarkan statistik, sebanyak 1,854 kes membabitkan 10,463 mangsa direkodkan di negara ini sejak 2015 dan 70 peratus mangsa adalah wanita dan kanak-kanak.

“Golongan rentan adalah kumpulan terdedah yang mudah terpengaruh dan terpedaya dengan janji palsu sindiket pemerdangan ini sehingga mereka menjadi mangsa.

“Bagaimanapun, semua mangsa berjaya diselamatkan dan diberi perlindungan mengikut lunas perundangan sedia ada,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Perasmian Anti Pemerdagangan Orang Sedunia 2021, secara maya, siang tadi.

Beliau turut berterima kasih kepada semua mangsa yang memberikan maklumat serta kerjasama dalam usaha kerajaan membanteras kegiatan pemerdagangan manusia dan ia amat bertepatan dengan tema sambutan kali ini iaitu ‘Victims’ Voices Lead the Way’.

“Mangsa adalah golongan yang perlu dilindungi supaya mereka boleh menjadi petunjuk atau indikator utama kepada kementerian dalam memerangi jenayah ini dengan berkesan.

“Bantuan dan sokongan yang lebih menyeluruh akan diberikan kepada mereka. Ini adalah sejajar dengan prinsip Maqasid Syariah iaitu bagi memelihara nyawa seorang manusia, termasuklah mengembalikan maruah dan harga diri,” katanya.

Tambah beliau, sejajar dengan itu, KDN bekerjasama dengan NGO, Project Liber8, mewujudkan satu sistem yang dikenali sebagai Chatbot MAPO atau Majlis Anti Pemerdagangan Orang yang bertindak sebagai medium interaksi antara mangsa dengan MAPO.

“Menerusi sistem ini, ia mudah diakses, mesra pengguna dan mampu dihubungi secara 24 jam serta memberikan maklum balas yang pantas kepada pengguna. Sistem ini menyediakan enam bahasa iaitu Bahasa Melayu, Indonesia, Burma, Nepal dan Bangali bagi memudahkan pengguna untuk berkomunikasi.

“Dengan adanya platform seumpama ini, diharapkan lebih banyak mangsa akan tampil ke hadapan serta kementerian akan memastikan pengguna bukan sahaja dapat diselamatkan tetapi dilindungi,” katanya

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply