Perwakilan sebak dan emosi ketika lafaz Piagam Muafakat Nasional

0

13 Disember 1977, iaitu 42 tahun lalu menyaksikan UMNO dan PAS telah membawa haluan masing-masing.

Setelah 42 tahun berpisah, hari ini pada 14 September 2019, UMNO dan PAS bersatu kembali.

Ternyata Piagam Muafakat Nasional telah mengukuhkan semula ikatan kedua-dua parti ini.

Foto : hidup_umnobn
Foto : umnoonline

Ketika Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa bersama Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan membaca Piagam Muafakat Nasional, ramai perwakilan yang menitiskan air mata dan beremosi.

Ketika piagam berkenaan dimeterai ramai yang tidak dapat menahan sebak kerana perpaduan dan permuafakatan ini sudah sekian lama dirindui rakyat khususnya buat orang Melayu dan Islam.

Ibarat adik-beradik yang lama berkelahi dan kini berbaik mengikut al-Quran dan as-sunnah.

Tidak terkecuali intipati Piagam Muafakat Nasional yang dilihat mampu membela rakyat daripada keperitan hidup dalam keadaan politik yang serba tidak kena.

Foto : hidup_umnobn

Ketika ucaptama, Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, berkata himpunan pada hari ini membuktikan titik persamaan antara PAS-UMNO yang telah berjaya meletakkan asas penting dalam Perlembagaan Malaysia iaitu kedudukan Islam, hak Bumiputera, hak-hak agama lain, Bahasa Kebangsaan, hak bermasyarakat dan banyak lagi.

Presiden UMNO, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika ucaptama beliau berkata permuafakatan ini tidak akan membawa kepada politik perkauman, menjarakkkan atau memusuhi mana kaum atau agama tetapi ia harus dilihat dalam ruang lingkup yang positif.

Beliau menambah, permuafakatan ini tidak akan menjejaskan tiang seri negara dan institusi raja-raja sebagaimana yang termaktub di dalam perlembagaan UMNO.

Berikut pengisytiharan penuh Muafakat Nasional.

Maka dengan ini, UMNO dan PAS, menginsafi kewajipan-kewajipan untuk:

Menjunjung dan mempertahankan keluhuran Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin pembentukan Negara, Islam sebagai Agama Persekutuan, kedaulatan Raja-Raja Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera serta kepentingan sah kaum-kaum lain, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan serta menjamin kepentingan masyarakat majmuk terpelihara.

Memperkukuh Muafakat Nasional melalui amalan musyawarah yang melibatkan pelbagai latar agama, kaum dan budaya demi kepentingan negara.

Memperkasa agenda Islam, Melayu dan bumiputera secara tuntas dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan demi membangunkan watan yang sejahtera.

Membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif (Islam dan Melayu) tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum dan kesejahteraan negara.

Mengikhtiarkan secara kolektif satu citra dan tawaran baru untuk negara dalam meningkatkan tadbir urus yang baik, dasar pembangunan yang inklusif dan sejahtera serta pengagihan yang menyuburkan keadilan sosial merentasi batas warna kulit dan anutan.

Justeru, marilah kita semua rakyat berganding bahu mendukung Muafakat Nasional demi Malaysia yang sejahtera.

 

Leave a Reply