Persenda Ops Daulat : “Sehina inikah pengorbanan pasukan keselamatan negara?” – Rosmah Mansor

0

Datin Seri Rosmah Mansor menyelar tindakan seorang pemimpin parti politik yang disifat beliau cukup melampau dan tidak boleh dimaafkan.

Katanya, hidup dan mati, pengorbanan dan kesetiaan dan penghormatan dan biadab bukan sesuatu yang boleh dipersenda mahupun dipermainkan.

Tidak kiralah apa jua medium dan alasan, kesemua ini bukanlah sesuatu benda yang dihalalkan untuk dipersenda walaupun sedang mengejar pangkat mahupun kuasa.

Berikut petikan artikel berkenaan.

Hidup dan mati, pengorbanan dan kesetiaan dan penghormatan dan biadab bukan sesuatu yang boleh dipersenda mahupun…

Posted by Rosmah Mansor on Monday, 21 September 2020

Sejujurnya saya agak sibuk sedikit hari ini. Namun, sebaik membaca laporan yang memetik kata kata seorang pemimpin parti yang hari ini sedang dalam gerak kempen mengekalkan kerusinya sehingga sanggup menghina anggota pasukan keselamatan negara yang terkorban semasa pencerobohan pengganas Sulu di Tanduo, Lahad Datu, Sabah, saya fikir ini sudah cukup melampau dan tidak boleh dimaafkan.

Bayangkan mereka sanggup meninggalkan isteri, anak anak dan keluarga berjuang mempertahankan kedaulatan negara, pemimpin seumpama ini melabelkan pertempuran yang berlaku pada Februari 2013 itu seumpama perperangan antara ayam dan anjing. Sehina inikah pengorbanan pasukan keselamatan negara?

Saya ada menyentuh prihal pencerobohan ini dalam dua artikel saya sebelum ini. Saya menyentuh mengenai nasib penduduk setempat yang terpaksa berhadapan dengan detik getir pertempuran antara pengganas dan pasukan keselamatan negara.

Juga turut saya sentuh tentang kedukaan waris waris mangsa yang menerima berita duka ketua keluarga mahupun anak anak mereka yang terkorban angkara keganasan penceroboh. Malah, peristiwa ini kekal dalam ingatan saya yang saya anggap sebagai antara tragedi besar dan menyedihkan dalam sejarah negara.

Saya fikir, bukan saya sahaja yang berfikiran demikian. Suami saya sendiri turut berdukacita dengan kenyataan demikian. Bayangkan, beliau sanggup terbang sendiri ke Lahad Datu bagi meninjau sendiri tahap kesiagaan serta keselamatan anggota keselamatan negara yang ditugaskan merampas kembali daerah yang dikuasai pengganas.

Malah beliau sendiri acapkali menitipkan pesan supaya elakkan sebarang pertumpahan darah kerana kebimbangan utama beliau adalah keselamatan penduduk yang terlibat dan anggota keselamatan negara yang berkorban nyawa menjaga kedaulatan negara.

Namun, hanya disebabkan mengejar kuasa dan pangkat dunia, dia sanggup perlekehkan insiden ini dan nyawa nyawa yang terkorban. Tidakkah dia fikir kenyataannya ini telah menggoreskan perasaan waris waris mangsa? Tidakkah dia terfikir bahawa dia telah menghina anggota keselamatan negara? Paling utama, mana rasa keperimanusiaan dia sehingga tergamak bercakap demikian?

Saya masih tidak dapat melupakan genangan air mata waris waris anggota keselamatan negara sewaktu menyambut ketibaan jenazah orang yang mereka sayangi. Bayangkan, pemergian mereka dihantar dengan doa dan masih terasa kucup hangat seorang suami dan bapa, namun apabila pulang, waris waris mangsa hanya mampu menatap hiba pemergian mereka tanpa dapat mendengar suara mereka buat kali penghabisan.

Bayangkan bagaimana waris waris mangsa ini mahu meneruskan hidup tanpa kehadiran tunjang keluarga? Saya masih ingat, kerajaan pada ketika itu terus menggerakkan bantuan segera bagi menjaga kebajikan kesemua waris waris mangsa untuk meneruskan kehidupan mereka.

Hanya 7 tahun berlalu, sudah ada pihak yang berani mempersendakan kematian mereka? Sudah ada pihak yang melihat apa yang berlaku pada ketika itu sebagai sandiwara? Sudah ada pihak memandang enteng keselamatan dan kedaulatan negara?

Perkara ini diluar konteks politik. Perkara ini melibatkan nyawa dan pengorbanan serta maruah semua mangsa dan setiap seorang anggota keselamatan yang terlibat sejak Februari 2013 sehingga hari ini. Sebagai seorang rakyat Malaysia, isteri dan ibu, perkara ini tidak boleh diterima dan sukar untuk dimaafkan.

Terlalu sedih untuk saya kenangkan. Terlalu pedih untuk saya dengar ungkapan dari seorang pemimpin parti politik. Sejujurnya, tumpah juga air mata saya mengenangkan semua ini.

ROSMAH MANSOR

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply