Perhimpunan Agung UMNO 2021 pada Januari ini, tangguh pemilihan parti

0

UMNO menetapkan Perhimpunan Agung UMNO 2021 akan diadakan selama tiga hari bermula 13 hingga 15 Januari 2022.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam satu kenyataan di Twitter berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat bulanan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Susulan itu, katanya persidangan UMNO Cawangan akan diadakan daripada 15 Oktober hingga 30 November ini.

“Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian pula diadakan secara serentak seluruh negara bermula 11 hingga 12 Disember.

“Bagi Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian, ia akan diadakan secara serentak seluruh negara pada 18 Disember ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun katanya, semua mesyuarat tidak diadakan pemilihan jawatan kerana Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) sudah bersetuju mengenai penangguhan pemilihan parti sehingga 29 Disember 2022.

“Mesyuarat boleh diadakan secara bersemuka atau maya atau gabungan bersemuka dengan maya mengikut situasi COVID-19 di kawasan masing-masing.

“Kehadiran mesyuarat adalah dengan korum minimum satu perempat daripada jumlah yang layak hadir atau lebih daripada satu perempat asalkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang dibenarkan mengikut kawasan masing-masing,” katanya.

UMNO sebelum ini dilaporkan menangguhkan pemilihannya di semua peringkat cawangan, bahagian dan MKT selama 18 bulan bermula 30 Jun lalu.–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapos

Leave a Reply