Wanita UMNO perlukan satu anjakan politik, diiktiraf dan di letak ke taraf yang lebih tinggi dalam parti – Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Dato’ Dr Noraini Ahmad

0

365 hari yang berlalu, banyak yang telah berlaku. Siapa sangka, dari duka dek kerana awan hitam kini terbit cahaya mengubat hati yang gelora. Pakatan Harapan yang dahulunya dilihat gah, kini semakin derita penuh sengketa. Apa yang pasti, status kita sebagai pembangkang tidak lagi melemahkan semangat kita. Walau dihimpit, ditekan, digoda dengan penuh dugaan, kita masih kekal berhimpun di dewan ini, menyemarakkan lagi maruah sebuah perjuangan panjang ummat Melayu.

Dengan berbekalkan jiwa yang utuh, semangat yang jitu – istaqamah kepada perjuangan yang satu, Wanita UMNO terus menatih, mempelajari tutur cara sebagai pembangkang yang padu. Wanita tidak sesekali menabur fitnah untuk berjaya tetapi Wanita menjadi dacing keramat, sebagai semak imbang kepada sebuah Kerajaan yang rapuh. Wanitalah juga penyambung bicara kepada nadi rakyat agar negara ini kekal makmur dan gemilang sentiasa.

Lantas, perhimpunan ini dari naluri hati saya, adalah sebuah perhimpunan yang luar biasa. Wanita di hadapan saya ini juga adalah luar biasa. Berbekalkan tujuan yang satu, gerak kerja kita akan tertumpu bagi memenangi PRU-15 yang bakal menjelang tiba. Jangan lagi kita alpa, masa tidak menunggu kita. Kita gerak menuju kehadapan, sesekali menoleh memperbaiki segala kelemahan. Di pentas hari ini kita bersatu, berbincang dan bermuhasabah – membina pasak perjuangan, menguatkan benteng pertahanan, mengukuh lagi strategi serangan. Kita rangka, kita susun langkah sebaiknya agar akar yang wujud ini bisa meresap dan menatijahkan kejayaan.

Syukur juga pada yang Maha Esa. Laluan ini dipermudahkan olehNya. Muafakat Nasional menjadi pegangan, keakraban bersama MCA dan MIC diperkukuhkan. Nilai toleransi dan kerjasama diterjemahkan dan kesatuan bersama PAS diperkuatkan. Ibarat air dicincang tidak akan putus – semoga ikatan ini terus tersimpul rapi, walau diuji onak dan duri.

Malah dikesempatan ini saya ingin mengingatkan diri saya dan para perwakilan serta pemerhati untuk sama-sama kita menghayati surah As-Saff ayat ke 4 yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berperang di jalanNya dalam barisan yang teratur, mereka seakan-akan seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh”

Namun, jangan sesekali kita lupa musibah Pilihanraya Umum ke 14, jangan kita ulangi kesilapan yang sama. Rakyat pernah menghukum kita, tidak mustahil akan terjadi perkara sama andai kita alpa, lupa dan selesa bagai lena diulit mimpi yang indah belaka. Walau nadanya seperti menyokong kita, tetapi jangan sesekali diletakkan tanda aras bahawa rakyat sudah kembali sepenuhnya kepada kita.

Ingat, ingat dan terus beringat.
Ingat, ingat dan terus bersemangat.

Perjuangan ini bermula dengan penuh gelora, ada juga yang melompat meninggalkan bahtera. Segalanya adalah dugaan buat kita menuju menjadi Wanita Yang Luar Biasa!

Puan-puan adalah wanita yang luar biasa. Ini mengingatkan saya tentang bait-bait kata di dalam lagu yang popular sekarang ini dikalangan anak-anak muda yang dinyanyikan oleh Andmesh Kamaleng. Di mana dalam lagu yang bertajuk Cinta Luar biasa itu, beliau menitipkan…

Aku tak punya bunga
Aku tak punya harta
Yang ku punya hanyalah hati yang setia…
Dan hati ini akan terus setia kepada perjuangan ini.

PRK TANJUNG PIAI

Rasanya masih belum terlewat untuk saya mengucapkan tahniah di atas kemenangan Barisan Nasional dalam PRK Tanjung Piai. Majoriti 15,086 undi adalah kemenangan yang amat luar biasa. Ternyata betul kata Menteri, Pakatan Harapan telah diarwahkan di Tanjung Piai.

Dalam meraikan kemenangan, kita turut dihidang dengan kegigihan seorang jentera kita Puan Shamsiah Selamat dari Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Kota Tinggi. Melihat video beliau yang viral sedang merayu undi ketika hujan lebat amat meruntun hati saya.

Beliau adalah cerminan kepada ribuan jentera wanita yang bertugas di PRK Tanjung Piai – menjadi lambang kepada pengorbanan wanita yang berjuang demi kepentingan parti.

Dikesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada jentera-jentera Wanita UMNO daripada Bahagian Tanjung Piai sendiri, Bahagian-bahagian lain di negeri Johor dan wanita dari negeri-negeri seluruh Malaysia yang bertungkus lumus berkempen di Tanjung Piai.

Terima kasih juga kepada jentera-jentera Wanita Barisan Nasional, jentera-jentera Friends of Barisan Nasional.

Dan kita tidak lupa juga kepada sahabat baru – Muslimat PAS yang turut bersama memenangkan calon kita. Kerjasama yang utuh ini beroleh hasilnya dan saya yakin jika semangat dan strategi sama dibawa, PRU15 sebuah impian yang bakal menjadi nyata.

Alhamdulilah, kita berjaya menutup tahun 2019 dengan kemenangan bergaya. Angin perubahan ini bermula di Cameron Highlands, turun ke Semenyih, singgah di Rantau dan terus menuju ke penghujung benua Asia di Tanjung Piai.

Saya yakin, jentera Wanita akan bersiap siaga pula untuk memenangi pilihanraya kecil di Kimanis, Sabah. Mari kita bawa taufan kemenangan di Semenanjung ke negeri di bawah bayu pula. Dan yang paling utama, momentum kemenangan ini harus kita kekalkan sehingga PRU yang ke 15.

Namun begitu, jangan sekali-kali kita terlalu yakin dengan kemenangan-kemenangan ini. Saya mahu imbaskan kembali bagaimana kemenangan besar di pilihanraya kecil sebelum PRU ke 14 iaitu di Sungai Besar. Betul, kita menang bergaya dalam pilihan raya kecil tetapi akhirnya kecundang dalam pilihan raya umum.

Konsensus PRK dan PRU sangat berbeza. Mungkin kemenangan yang dikecapi oleh kita bukan disebabkan kita kuat tetapi rakyat hanya mahu memberi peringatan kepada kerajaan Pakatan Harapan. Kita harus berhati-hati, peka, dan sentiasa bersiap-sedia.

Justeru, sewajarnya kita mengatur langkah awal, langkah yang hebat, dan langkah-langkah yang lebih mantap – supaya momentum sokongan tidak hilang menjelang PRU15.

Percayalah, gabungan UMNO bersama MCA, MIC dan PAS sekarang ini dipandang dengan penuh harapan oleh rakyat. Mereka menilai kesungguhan kita. Mereka mula meyakini kita. Jangan sekali-sekail kita merobek kepercayaan mereka.Maka sia-sia lah usaha kita selama ini, kelam dan pudarlah ikhitar kita di dalam menyelamatkan Malaysia daripada kerajaan Pakatan Harapan yang tidak berpengalaman.

MENDEPANI CABARAN POLITIK 2020

Perhimpunan ini bukanlah semata-mata acara ritual dalam memenuhi tuntutan kalendar organisasi. Sebaliknya, ia satu perundingan nasional untuk kita melihat, memperbaiki dan merancang strategi.

Kita telah diuji dengan pelbagai dugaan. Akaun parti dibekukan, rakan-rakan komponen lari bertempiaran. Malah ada yang sanggup menjadi petualang bangsa meninggalkan perjuangan.

Namun apa yang terjadi tidak sesekali melemahkan Wanita. Wanita kekal teguh sebagai tulang belakang parti.

Ini bukan omongan kosong. Saya telah lihat dalam siri jelajah saya ke negeri-negeri. Dari Perlis hingga Sabah.

Dalam keadaan serba kekurangan, saya lihat bagaimana Wanita UMNO Bahagian mengadakan mesyuarat di halaman rumah sendiri, dalam keadaan cuaca yang panas terik, dan di bawah kanopi usang. Polis cawangan khas juga turut hadir memasang telinga.

Namun, kecekalan Wanita UMNO jauh lebih tinggi daripada apa yang saya jangka. Kekurangan yang kita hadapi langsung tidak melemahkan semangat mereka.

Tidak kurang juga dengan usaha-usaha yang dilakukan oleh Sekretariat-sekretariat Wanita UMNO. Pelbagai program telah dianjur. Kita ada:

Program Wise
Program Dampak Media Sosial
Kembara Jalinan Rakyat
Bicara Hasanah
Pameran Wanita Kreatif
Klinik Guaman dan pelancaran kempen prolima
Resolusi meja Bulat bersama wakil NGO
Dan juga Program-program latihan

Alun-alun diukir hiasan,
Untuk menyambut menantu dan besan,
Harum-harum bunga di taman,
Harum lagi semangat puan-puan.

Syabas Wanita UMNO.

Semangat sahaja belum cukup untuk membawa kita ke Putrajaya. Kita perlu lebih daripada itu. Politik sudah berbeza, pendekatan juga perlu berbeza. Wanita UMNO tidak boleh lagi bersikap sambil lewa. Kita tidak boleh lagi kekal dengan gerak kerja yang lama. Kita perlu membuka minda kita.

Justeru itu, saya ingin menyarankan TIGA MISI bagi memastikan Wanita UMNO terus menjadi wanita yang progresif – terus menjadi wanita yang luar biasa. Saya mahu jika terjadinya esok pilihanraya, Wanita UMNO sudah bersedia.

MISI PERTAMA – MEMPERKUKUHKAN JENTERA PARTI

Kekuatan Wanita UMNO dalam mendekati pengundi tidak wajar dipersoalkan lagi. Namun saya mahu mengajak semua perwakilan dan akar umbi diluar sana untuk memulakan gerak kerja baharu yang lebih berfokus.

Gerak kerja seperti Jalinan Rakyat 2.0 serta Skuad Sayang telah terbukti medium terbaik mendekati pengundi.

Di Tanjung Piai, lawan kita Pakatan Harapan cuba menyekat gerakan kita. Jentera kerajaan dipergunakan untuk menghalang kemaraan kita. Belum pernah lagi dalam sejarah, hendak ziarah rumah rakyat pun memerlukan permit. Apa maknanya? Mereka sudah takut.

Tetapi jangan kita alpa, kita perlu perkasakan lagi gerak kerja ini.

JALINAN RAKYAT 2.0

Semasa PRU yang lepas, kita dilihat gagal membaca sikap pengundi. Kita fikir pengundi masih bersama, tetapi kita silap. Mereka sambut kita dengan senyuman, tetapi tidak lagi sokongan. Kita perlu lihat semula di mana kelemahan kita.

Kita tidak boleh lagi bergantung kepada persepsi dan andaian semberono. Kita memerlukan satu gerak kerja yang lebih strategikdalam mendapatkan fakta lebih tepat terhadap sokongan yang diterima parti. Jangan lagi kita melakukan kesilapan.

Senario dan landskap politik sudah berubah. Justeru itu, Wanita Umno telah merombak semula gerak kerja Jalinan Rakyat.

Kita mulakan dari sifar. Dari bacaan sikap kita sudah beralih ke bacaan sentimen. Kita bina sistem yang lebih realistik. Bacaan secara manual tidak lagi praktikal. Dan saya mahu data-data ini dikemaskini dari semasa ke semasa.

Namun, secanggih mana sistem yang ada, tidak ada gunanya jika tidak difahami akar umbi. Kita telah mulakan dengan Kembara Jalinan Rakyat tahun ini. Dan usaha ini kita akan teruskan pada masa akan datang.

Dalam kita berkembara, jangan dilupa tentang anak muda. Apatah lagi kini, seawal usia 18 tahun sudah diiktiraf sebagai pengundi. Mereka diberikan hak dan ruang untuk memilih kerajaan.

Jangan memandang rendah kekuatan undi mereka. Sikap mereka mudah berubah. Mereka mudah terdedah dan terpengaruh dengan persekitaran, pengaruh rakan-rakan, ahli keluarga dan juga dakyah di media sosial.

Masih ingat bagaimana anak-anak muda dipengaruhi dengan janji hapuskan PTPTN, turunkan harga petrol dan siaran EPL percuma. Ini merupakan antara faktor kekalahan kita. Kita hilang undi daripada anak muda.

Bukan semua tetapi segelintir mereka tidak mampu memikirkan kesan tindakan mereka terhadap negara. Di sinilah peranan Wanita. Sebagai ibu terbaik bangsa, kita dekati mereka, kita fahami kemahuan mereka, kita selami jiwa mereka dan kita bimbing mereka.

SKUAD SAYANG 3K

Satu lagi komponen penting yang perlu dilihat semula adalah Skuad Sayang. Selepas 10 tahun, sudah tentu ianya perlu diberi rencah baru.

Tidak hanya dikenali sebagai sekumpulan wanita yang datang membantu memasak sahaja atau menolong menyampaikan bantuan kepada rakyat. Kita mampu lakukan lebih daripada itu.

Skuad Sayang perlu diinstitusikan. Skuad Sayang perlu menjadi jentera yang berfungsi sebagai pasukan gerak gempur kepada Wanita UMNO.

Alhamdulillah. Kelmarin kita telah lancarkan Skuad Sayang 3K. Kita beri nafas baru dengan tiga komponen. Kebajikan, Keselamatan dan Kesihatan rakyat yang kita jaga dan jangan diabaikan.

Justeru, tumpuan kita selepas ini bukan lagi kepada aspek sosial sahaja.

KADERISASI DAN LATIHAN

Bagi menjayakan gerak kerja ini, kita memerlukan penggerak yang mempunyai jati diri yang kuat, bijaksana dalam melaksanakan agenda wanita.

Saya akui kekalahan dalam PRU14 yang lalu telah menyebabkan ada sebahagian daripada kita mula hilang semangat dan mula menjarakkan diri dengan UMNO kerana kecewa.

Bagi memulihkan semangat ini, kita perlu melaksanakan program pengkaderan dan latihan kita sendiri. Kita semai, bina dan pupuk kembali roh perjuangan ini. Kita dekati mereka, bawa mereka kembali bersama kita. Kita tidak mahu kekecewaan mereka berpanjangan. Ini mesti kita noktahkan.

Kita turun ke akar umbi. Kita atur program-program yang lebih berdaya, lebih berstrategik tanpa melibatkan kos besar, dan tanpa perlu ke tempat-tempat mewah.

Saya akui, dalam situasi kewangan parti yang menggugat, sukar bagi kita melaksana program dan aktiviti diakar umbi. Apatah lagi status kita sebagai pembangkang.

Namun, ia sebenarnya bukan satu halangan besar untuk kita terus bersama, untuk kita dampingi mereka.

MEDIA SOSIAL

Kita kini berada dalam era di mana media sosial menjadi medium yang sangat penting dalam kehidupan seharian termasuklah dalam perjuangan politik.

Saya ingin menyentuh kajian yang dibuat oleh Ilham Centre. Ilham Centre mendapati bahawa antara faktor kemenangan Barisan Nasional di Tanjung Piai adalah disebabkan oleh media sosial.

Kenapa dan mengapa? Tidak lain dan tidak bukan, kerana kita berjaya bongkar penipuan-penipuan Pakatan Harapan, janji-janji yang tidak ditunai dan kegagalan mereka mentadbir kerajaan. Mereka gagal tangkis serangan kita.

Justeru itu, Wanita UMNO harus gandakan usaha sebagai agen penyebaran maklumat. Kita lawan dakyah dan fitnah Pakatan Harapan. Rakyat harus diberikan maklumat yang tepat. Jangan biarkan Pakatan Harapan terus menipu rakyat lagi.

Dari tingkap-tingkap rumah kita beralih ke tetingkap-tetingkap media sosial – di Facebook, di Twitter, di Instagram – kita membawang dengan ilmu, bukan dengan janji palsu.

Kemas kini media sosial, promosikan aktiviti, jangan takut melawan penipuan kerajaan. Jika ini mampu diadaptasi, saya yakin apa jua fitnah yang dilontar kepada kita selepas ini, tidak lagi akan berkesan.

MISI KEDUA – MEMPERKUKUHKAN MUAFAKAT NASIONAL

14 September 2019, dua hari sebelum kita menyambut Hari Malaysia, merupakan hari yang amat bersejarah bagi dua parti orang Melayu Islam terbesar di negara. Kita tidak akan sesekali melupakan tarikh keramat pembentukan Muafakat Nasional.

Apakah dia Muafakat Nasional ini? Muafakat Nasional bukan hanya berkisar kepada soal Melayu dan Islam sahaja. Kita mahu menghantar mesej yang jelas kepada rakyat bahawa:

Kerjasama ini adalah untuk semua kaum di negara ini.
Kerjasama ini adalah untuk semua agama di negara ini.
Kerjasama ini adalah untuk mengembalikan Malaysia ke acuannya yang asal yang mana kita mengiktiraf kemajmukan agama dan kaum di negara ini.

Walaupun sikapnya majmuk, akarnya adalah Melayu, Islam dan Bumiputera seperti mana yang telah disepakati dan dipatri dalam Perlembagaan Persekutuan. Islam agama Persekutuan dan Melayu Bumiputera mempunyai keistimewaan yang tersendiri dalam Perlembagaan Persekutuan.

Akar inilah yang sedang cuba diganggu gugat oleh kerajaan Pakatan Harapan. Inilah yang menyebabkan orang Melayu dan Islam resah.

Bermula dari sini berlaku titik kebimbangan sama ada kerajaan yang ada pada hari ini mempunyai keinginan untuk mempertahankan hak Melayu dan menjaga Islam. Kalau ada keinginan, adakah mereka mempunyai kemampuan? Tidak, kerana terasnya bukan lagi Melayu Islam.

Namun begitu, Perlembagaan menyatakan dengan jelas bahawa kita tidak boleh menafikan sedikit pun hak agama-agama lain untuk diamalkan secara bebas.

Justeru itu, kerjasama antara UMNO dan Pas dalam Muafakat Nasional perlu disambut baik. Ianya merupakan satu anjakan politik kepada kedua-dua parti. Bukan hanya melibatkan UMNO dan Pas, tetapi kerjasama ini juga memberi kelebihan kepada parti-parti komponen dalam Barisan Nasional.

Kerjasama ini diharapkan berpanjangan. Bukan semata-mata kerana PRU15 sahaja, tetapi merupakan kerjasama holistik demi kebaikan rakyat Malaysia.

Kalau kita hendak memperbaiki negara kita ini, kita perlu lakukan secara bersama. Kita bukan seperti Pakatan Harapan. Mimpi lain-lain walaupun tidur sebantal.

Negara pada hari ini menjadi huru hara disebabkan kerajaan tidak pandai menjaga negara. Misalnya, selepas lebih setahun memerintah, mereka masih menyalahkan kerajaan Barisan Nasional. Semua salah 1MDB.

Bila rakyat tanya pasal subsidi, mereka jawab pemimpin BN pencuri
Bila rakyat tanya pasal janji, mereka jawab hutang negara tinggi
Bila rakyat tanya pasal bantuan, mereka mula jadi tidak keruan
Mereka masih cuba menipu rakyat.
Rakyat sudah sedar
Rakyat tidak lagi terpedaya
Rakyat tidak lagi termakan dengan fitnah
Rakyat tidak lagi percaya dengan berita palsu Pakatan Harapan
Rakyat sudah tahu siapa pembohong siapa pembela
Rakyat sudah bijak membezakan yang mana kaca yang mana permata.

Sidang perwakilan sekalian,

Dalam keterujaan kita meraikan kerjasama Muafakat Nasional, janganlah kita lupa kepada NGO-NGO dan sukarelawan. Mereka inilah yang selama ini menjadi pemudah cara segala yang kita rancang, menjadi penghubung atau ‘orang tengah’ kepada kita dan juga rakyat.

Ada yang berani bersama dengan kita secara terbuka, berjuang untuk menjadi denyut nadi rakyat. Status kita sebagai pembangkang tidak menakutkan mereka.

Ada juga yang mahu bersama kita, memberi bantuan, sokongan dan dorongan terhadap perjuangan kita, namun mereka tidak mahu identiti mereka didedahkan. Marilah kita cari dan santuni kedua-duanya.

MISI KETIGA – SIAPSIAGA HADAPI PRU15

Semboyan akan berkumandang bila-bila masa sahaja.Saya percaya, kita semua sudah merasakan betapa kencangnya tiupan angin. Ada yang kata bulan depan, ada yang kata tahun depan, ada juga yang kata sehingga habis penggal.

Mereka sedang berantakan. PM sedang bergaduh dengan bakal PM ke lapan. Bakal PM ke lapan pula bergaduh dengan menteri hotel Sandakan. Rakyat langsung mereka tidak dipedulikan.

Tetapi bersediakah kita menghadapi sebarang kemungkinan?
Jika esok parlimen bubar – adakah Wanita UMNO sudah bersedia? Saya ulang
Jika esok parlimen bubar – adakah Wanita UMNO sudah bersedia?
Apa persediaan kita?

Kita telah merangka Pelan Strategik Wanita UMNO2018-2021. Kita telah menilai dan menyusun gerak kerja kita. Gerak kerja Wanita UMNO harus lebih efektif sebagai sebuah gerakan parti pembangkang.

Pelan Strategik ini amat penting bagi memenangi semula hati rakyat. Ombak kebangkitan rakyat pada hari ini harus dikekalkan. Kita perlu pastikan mereka kembali menyokong wadah perjuangan UMNO.

Justeru itu,
Wanita UMNO perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan.
Wanita UMNO perlu ada jati diri yang kuat dalam memperjuangkan hak rakyat.
Wanita UMNO perlu memenangi hati rakyat melalui kepimpinan dan tauladan.
Wanita UMNO kena berada dalam keadaan siapsiaga.

NEGARA TIADA KEPIMPINAN

Setelah satu tahun enam bulan Pakatan Harapan menjadi kerajaan, kegagalan utama mereka adalah untuk memberikan satu kepimpinan yang jelas untuk memimpin negara.

Kerajaan memberi pelbagai alasan. Kononnya mereka baharu lagi. Semua hendak disalahkan Barisan Nasional. Sedangkan sendiri yang tidak tahu mentadbir.

Di sini saya ingin membuat perbandingan dengan seorang tokoh wanita yang amat saya kagumi iaitu Perdana Menteri New Zealand Jacinda Arden.

Dalam masa dua tahun, beliau telah berjaya mencipta 92,000 peluang pekerjaan, menurunkan kadar pengangguran ke tahap paling rendah di negara itu sejak 11 tahun lalu, meningkatkan pendapatan 384,000 isi rumah, meningkatkan dana sekolah supaya keluarga tidak perlu membayar yuran-yuran lain di sekolah.

Lihat, bagaimana Jacinda tangani isu tembakan rambang di masjid yang turut mengorbankan seorang warga Malaysia. Beliau mengambil tindakan drastik mengharamkan terus penggunaan senjata semi-automatik dan senapang. Beliau telah melawat komuniti Islam yang terlibat dalam kejadian itu. Dan beliau bersumpah untuk tidak akan menyebut nama lelaki bersenjata dalam serangan berkenaan. Apa katanya.

“Saya mohon kepada anda, sebutlah nama mereka yang sudah terkorban lebih daripada dia (pengganas)”

Tetapi lihat apa yang berlaku di negara kita. Kelemahan kepimpinan negara telah menyebabkan ada kalangan yang mengambil kesempatan, mengambil peluang dengan menimbulkan keadaan huru-hara dengan membawa masuk abu pengganas komunis.

Begitu juga dengan Jalur Gemilang. Ada yang ditukar kepada warna putih hitam, ada yang diterbalikkan, dan terbaru Jalur Gemilang lima bucu.

Kenapa jadi begini? Sampai bila kita mahu berkompromi terhadap penghinaan demi penghinaan ini? Kita perlukan titik noktah. Kita mahu kerajaan bertegas. Maaf sahaja tidak mencukupi.

EKONOMI RAKYAT

Kita dihidangkan dengan pelbagai watak jenaka menteri.
Ada yang berjaya tukar kasut hitam
Ada yang sibuk dengan kereta terbang
Ada yang sibuk tembak babi
Ada yang rembat baja padi
Ada yang cuit sikit terkoyak tisu
Ada yang bersungguh jaga poket pemaju

Akhirnya, mereka lupa dengan janji mereka kepada rakyat. Ekonomi negara terus merudum. Kita dikenali sebagai negara yang mengalami penarikan keluar dana pelaburan asing paling tinggi nilainya dalam Asia. Tidak cukup dengan itu, dalam laporan Straits Times Singapore April lalu, kita telah diberi gelaran pasaran saham paling teruk dalam dunia.

Bloomberg melaporkan pelabur asing masih takut walaupun pasaran saham kita rendah. Malaysian Reserve melaporkan situasi bursa kita hari ini mungkin menjadi lebih teruk berbanding ketika krisis kewangan pada tahun 2008.

Malah, badan pemikir kerajaan sendiri juga telah memberi amaran. Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) mengatakan bahawa – tahun depan pertumbuhan ekonomi yang perlahan akan memberi cabaran kepada kerajaan.

Dahulu kita sering mendengar pandangan “Apa salahnya memberi peluang kepada Pakatan Harapan mengurus negara dan rakyat?” Sekarang lihat apa sudah jadi? Ini merupakan satu kesilapan besar apabila kita memberi kepercayaan kepada serigala untuk menjaga biri-biri.

Walaupun kerajaan telah membentangkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, saya tidak nampak wawasan ini mampu menangani jurang kemiskinan rakyat yang semakin melebar.

Kerajaan gagal menjawab tiga persoalan utama – di mana peluang pekerjaan, bagaimana kerajaan hendak membina kemakmuran dan mewujudkan pasaran baharu.

Saya hendak merujuk kepada satu perangkaan demografi bagi suku tahun pertama 2019, Malaysia ini 15.80 juta penduduknya adalah wanita. Bermaksud hampir setengah daripada populasi adalah wanita.

The power of parity: How advancing women’s equality can add $12 trillion to global growth yang diterbitkan oleh McKinsey Global Institute menunjukkan bahawa 12 trilion boleh disumbangkan kepada KDNK global menjelang tahun 2025 sekiranya agenda pemerkasaan wanita dilakukan dengan holistik dan berkesan.

Justeru itu, Wanita UMNO juga perlu mewujudkan kumpulan pendesak bagi tangani isu ekonomi ini.

Walaupun sudah menjadi pembangkang, Wanita UMNO perlu terus bergerak menjadi denyut nadi rakyat. Kita bela nasib mereka yang diabaikan oleh kerajaan. Kita tuntut janji Pakatan.

Pakatan Harapan berulang kali menegaskan kononnya harga barang akan turun selepas SST menggantikan GST, tetapi akhirnya mereka sendiri mengaku bahawa kos sara hidup terus meningkat. Yang menteri umum harga telur turun dua sen.

Adakah mereka meminta maaf kepada rakyat? Tidak.

Kita faham, kenaikkan harga barangan ini sangat membebankan rakyat. Rakyat hari ini terpaksa ikat perut. Entahkan cukup, entahkan tidak gaji sampai hujung bulan. Macam mana Pakatan boleh tergamak kata gaji RM1,000 sebulan sudah cukup untuk hidup sekarang.

Keadaan ini akan menjadi lebih serius, apabila subsidi petrol akan ditarik berdikit-dikit tahun hadapan. Rakyat akan terus dibebani dengan kenaikan harga barang.

Berlandaskan semua itu, Wanita UMNO akan mewujudkan Skuad Semak dan Terjah (SST). Kita akan pantau harga-harga barang. Kita perlu juarai isu ini. Kita akan menjadi kumpulan pendesak kerajaan yang ampuh untuk menurunkan harga barang.

MEMPERKASAKAN WANITA UMNO

Sejarah parti memaparkan wanita telah memainkan peranan yang besar dalam memastikan impian dan aspirasi UMNO untuk memerdekakan negara dapat dicapai dengan jayanya.

Umum mengetahui bahawa gemilangnya parti keramat UMNO dari zaman sebelum merdeka, di awal kemerdekaan hingga ke hari ini semuanya melibatkan kerja keras serta peranan yang dimainkan oleh Wanita-Wanita UMNO.

Sejak awal penubuhan, Wanita UMNO yang dikenali sebagai Sekretariat Kaum Ibu telah melahirkan tokoh-tokoh berwibawa.

Hajah Zainun Munsyi Sulaiman atau Ibu Zain dikenali sebagai tokoh yang jujur dalam berpolitik. Walaupun bersahabat dengan pemimpin parti lawan namun beliau tetap mempunyai ketegasan dalam pendirian politiknya. Buktinya, Ibu Zain tetap tidak bersetuju dengan idea Burhanuddin dan Boestamam mengenai percantuman Indonesia dan Tanah Melayu menjadi Melayu Raya.

Siapa lagi? Khadijah Sidek – Beliau merupakan seorang tokoh wanita yang sedar akan kesusahan bangsanya. Pada beliau, pertubuhan politik ini adalah untuk menyambung usia mengukuh atau mengubah nasib bangsa.

Dan siapa boleh melupakan Tun Fatimah Hashim – Seorang tokoh yang terkenal dengan pendekatan merakyat. Kebetulan beliau berasal daripada Johor, sama dengan negeri asal saya.

Ketokohan beliau sampaikan diungkapkan oleh A. Samad Said – Sasterawan Negara

Tan Sri Fatimah hadapi perjuangan ini secara tidak bermusim.
Senjatanya bukan lagi senyuman atau jelingan.
Senjatanya adalah peluh dibadan.

Saya ingin menyeru kepada Wanita UMNO pada hari ini. Kita gabungkan ketiga-tiga elemen ini.

Mari kita jujur dalam berpolitik seperti Ibu Zain.
Kita jadikan Umno sebagai wadah untuk mengubah nasib bangsa kita seperti Khadijah Sidek.
Dan ayuh kita terjun dalam masyarakat, mengambil semangat Tun Fatimah Hashim.

Sejak dahulu lagi, Wanita Umno merupakan aset yang sangat berharga kepada parti. Disetiap pelusuk-pelusuk kampung, di pejabat, di rumah-rumah – kita yang menguasai. Dengan apa? Dengan JR dan Skuad Sayang yang kita ada. Kita mempunyai serba lengkap jentera.

Kita tidak kenal erti putus asa kerana itulah sifat seorang ibu bangsa. Namun, semangat ini sahaja tidak cukup. Kita perlukan satu anjakan dalam politik. Sudah tiba masanya kepimpinan Wanita diiktiraf, diangkat dan diletakkan ke taraf yang lebih tinggi dalam parti.

Usaha meninggikan martabat Wanita ini bukan mudah. Apa yang kita lakukan bukan untuk kepentingan sesiapa tetapi demi perjuangan wanita.

Jawatan yang kita perjuangkan ini bukan untuk diri saya. Tetapi untuk kita semua. Saya mahu Wanita UMNO diakui peranannya dan diletakkan ditempat yang sewajarnya.

Justeru itu, saya meminta sokongan dan mandat daripada seluruh perwakilan yang hadir dalam himpunan ini, untuk menyokong agar Wanita UMNO diberikan ruang untuk diangkat setaraf Timbalan Presiden UMNO.

Kami berjanji dan akan menggandakan usaha menjadi sebuah kepimpinan yang dapat membantu parti. Saya percaya dengan langkah ini Wanita UMNO akan terus diperkasa dan sekaligus memastikan parti ini terus dijulang dan kembali mendapat mandat rakyat.

Sebelum saya menamatkan bicara, saya ingin memetik kata-kata Bekas Presiden Indonesia, Soekarno.

“Gantungkan cita-citamu setinggi langit! Bermimpilah setinggi langit. Jika engkau jatuh, engkau akan jatuh di antara bintang-bintang.”

Kita telah menang dalam semua pilihanraya-pilihanraya kecil tahun ini. Namun kita tidak boleh berasa selesa. Jangan kita terus dibuai dengan kejayaan itu. Ingatlah, sasaran utama kita adalah PRU15.

Walaupun keyakinan rakyat terhadap Umno semakin bertambah tetapi perjalanan ini masih jauh. Jangan kita kehilangan sokongan ditengah-tengah.

Sekiranya kemenangan besar yang kita impikan, pastinya, dalam meniti liku-liku perjuangan, langkah-langkah perlu diatur.

Kita persiapkan gerak gempur,
Kita susun rentak tempur.
Kita bergerak dengan langkah berhemah,
Jangan kita guna tipu daya dan helah.

Kita tidak boleh banyak berbicara dan bertangguh-tangguh lagi. Kita perluperhebatkan tindakan dan gandakan usaha. Kita perlu cekal berusaha untuk memulihkan kepercayaan, memulihkan keyakinan serta memulihkan sokongan rakyat kepada parti keramat ini.

PRU15 bukanlah satu pilihanraya yang biasa. Ia bakal menjadi titik penentu destini rakyat dan bangsa. Pilihan raya ini akan mencorakkan wajah Malaysia untuk ditinggal kepada anak-anak kita.

Dalam masa tiga tahun ini segala-galanya mungkin. Jadi kita mesti menghidupkan bara kemarahan rakyat. Ini cabaran kepada Wanita. Ombak kebangkitan rakyat ini harus dikekalkan.

Jangan kita berhenti setakat Cameron Highlands,
Jangan kita berhenti setakat Semenyih,
Jangan kita berhenti setakat Rantau dan
Jangan kita berhenti setakat Tanjung Piai

130. Ayuh bersama-sama saya, kita bulatkan tekad, keluarkan segala kudrat menjadi wanita luar biasa, demi agama, bangsa dan negara.

Hidup Wanita!!!
Hidup Wanita!!!
Hidup Wanita!!!

Leave a Reply