Perak lanjut pengecualian denda lewat dan beri diskaun tunggakan cukai, bayaran premium tanah

0

Prihatin dengan kesan penularan pandemik COVID-19 terhadap rakyat dan komuniti perniagaan, Kerajaan Negeri Perak memutuskan melanjutkan tawaran pengecualian denda lewat dan pemberian diskaun tunggakan cukai serta bayaran premium tanah yang memberi kesan kewangan kira-kira RM6.65 juta.

Dalam satu kenyataan media, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu berkata tawaran di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri Fasa Ketiga ini, berkuatkuasa serta merta sehingga penghujung tahun ini.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu rentetan kesan dari wabak pandemik, kerajaan negeri mengambil langkah ini bagi meringankan beban rakyat dan komuniti perniagaan dalam mengharungi tempoh yang amat mencabar ini.

Insentif ini melibatkan dua kategori iaitu pengecualian denda lewat bagi Cukai Tanah Berulang sehingga 31 Disember untuk semua jenis hakmilik dan diskaun untuk pembayaran sekaligus tunggakan.

Bagi diskaun pembayaran, ianya membabitkan empat kategori iaitu :

i)Diskaun 30 peratus bagi tunggakan cukai tanah untuk tunggakan melebihi RM1 juta.

ii)Diskaun 25 peratus bagi tunggakan cukai tanah antara RM500,000 hingga RM999,999.

iii)Diskaun 20 peratus bagi tunggakan cukai di bawah RM500,000.

iv)Diskaun sebanyak 15 peratus bagi mereka yang membayar secara ansuran tunggakan cukai tanah sehingga 31 Disember depan.

Bagi diskaun pembayaran premium tanah ianya membabitkan Notis 5A dan 7G.

Premium sejumlah RM5 juta dan ke atas, ia memerlukan kertas pertimbangan khas ke Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK).

Namun, bayaran premium bernilai di bawah RM5 juta, diskaun yang ditawarkan terbahagi kepada tiga kategori, iaitu :

(i)Diskaun 30 peratus bagi premium melebihi RM3 juta hingga RM4,999,999.

(ii)Diskaun 25 peratus bagi premium antara RM2 juta hingga RM2,999,999.

(iii)Diskaun 15 peratus bagi premium antara RM500,000 hingga RM1,999,999. (iv) Diskaun 10 peratus bagi premium di bawah RM500,000

Kesemua pemberian diskaun ini terhad kepada notis yang dikeluarkan bagi tahun semasa dengan pembayaran dibuat sebelum akhir tahun ini.

Untuk rekod, kerajaan negeri telah menawarkan pengecualian denda lewat dan diskaun ke atas tunggakan cukai tanah serta bayaran premium tanah di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri Fasa Kedua. bermula dari 21 Mei hingga 31 Ogos lalu.

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply