Penyerang JDT kemalangan, tiga maut termasuk bayi dan ibu mertua

0

Penyerang muda pasukan bola sepak Johor JDT, Muhammad Syafiq Ahmad, terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Kilometer 163.6 arah utara, dekat Sungai Bakap, awal pagi tadi.

Kemalangan terbabit mengorbankan bayi lelakinya yang baru berusia 22 hari, ibu mertua, Zainab Wahab, 45 tahun, dan seorang lagi wanita bernama Titik Sukamti, 30-an.

Siasatan awal mendapati kejadian yang berlaku kira-kira jam 4.16 pagi itu berlaku dalam keadaan cuaca baik.

“Kemalangan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah selatan menuju ke utara, telah melanggar pembahagi tengah jalan dan terbalik di garisan putus-putus di tengah jalan,” jelas Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supt Lee Chong Chern.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang melaporkan pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira jam 5.36 pagi dan tiba di lokasi kurang 10 minit kemudian. Sebaik saja tiba, pihaknya mendapati sebuah kereta pelbagai guna jenis Toyota Vellfire berwarna hitam remuk teruk dipercayai terbabas sendiri dan kemudiannya melanggar pembahagi jalan.

Kesan daripada itu, tiga mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit di dalam kenderaan yang remuk itu.

Ia disahkan oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan dan mangsa telah dibawa ke Hospital Sungai Bakap dan pihak polis untuk tindakan lanjut.

Muhammad Syafiq, 25 tahun turut menerima rawatan di hospital yang sama. Namun isterinya, Nur Amalina Nur Ain, 25 tahun yang dilaporkan parah bersama anak perempuannya, Aaira Nur Saffiyya, 2 tahun dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan.

Dalam perkembangan berkaitan, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim mengucapkan salam takziah kepada Syafiq. Tunku Ismail yang juga pemilik JDT memuat naik ucapan berkenaan di akaun Facebook rasmi baginda yang memaparkan gambar jersi Syafiq bernombor 28 diiringi kata ‘Kami Sentiasa Bersamamu, Syafiq’.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) juga mengambil kesempatan mengucapkan salam takziah kepada penyerang kebangsaan tersebut.

Kami di The Malaya Post Portal berharap Semoga Shafiq tabah menghadapi dugaan ini dan semoga mereka segera sembuh seperti sediakala.

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

https://www.facebook.com/11726505964/posts/10157679148070965/

Leave a Reply