Penyebaran Khurafat Berkaitan COVID-19 : Hati Hati Dengan Tafsiran Atas Nama Agama

0

Oleh : Nasharudin Mat Isa

Prinsip asas agama Islam adalah mudah namun demikian kita tidak boleh bermudah mudahan sehingga mentafsir agama dengan akal dan emosi semata.Agama ini dibina diatas prinsip kefahaman yang jelas dan bukan hanya sekadar ikut ikutan. Rasulullah SAW bersabda;
من يريد الله به خيرا يفقهه في الدين

‘Barangsiapa yang Allah mengkehendaki dari seseorang itu menjadi baik, Allah akan memberi faham kepada dia tentang urusan agama.’

Perkataan يفقهه didalam hadith tersebut berasal dari kalimah فقه yang membawa maksud faham. Maka ilmu dan kefahaman harus sentiasa kita amalkan ketika kita sedang berusaha untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Maka itu lah ayat pertama yang turun kepada Rasulullah SAW adalah ‘اقراء’ iaitu ‘bacalah’. Ya kita sepatut nya menjadi umat yang membaca dan yang faham khasnya yang berkaitan dengan urusan agama kita, apatah lagi yang berkaitan dengan ayat ayat Al Quran dan Sunnah Nabi SAW.

Apabila kita tidak faham, maka berlaku lah tafsiran tafsiran yang tidak betul dalam hal hal yang berkaitan dengan Agama. Kesempatan sedemikian sudah tentulah akan diambil oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk menyesatkan umat dengan tafsiran yang salah terhadap kefahaman agama.

Ambil contoh yang paling mudah adalah apa yang berlaku pada hari ini. Ramai yang telah menghubungi saya berkaitan satu klip video yang tular di media sosial konon nya Kerajaan Arab Saudi sudah pun membuat keputusan untuk tidak membenarkan ibadah haji pada tahun ini kerana masalah penularan COVID-19. Apabila saya melihat dan mendengar sendiri klip video tersebut, jelas apa yang diungkapkan adalah ‘ Kerajaan Saudi belum membuat sebarang keputusan untuk menangguhkan haji utk tahun ini …akan tengok kepada perkembangan seterus nya’.

Malang nya, akibat dari tidak faham apa yang di sebut, maka ditularkan oleh mereka yang tidak bertanggung jawab tadi bahawa Kerajaan Saudi sudah membuat keputusan untuk tidak membenarkan perlaksanaan ibadah Haji pada tahun ini sedangkan jelas apa yang diungkapkan adalah sama sekali berbeza. Apa perlunya maklumat yang salah begitu disebarkan kepada masyarakat yang sedang berdepan dengan suasana yang agak menekan sekarang ini.

Tular juga dikalangan masyarakat hasil perlakuan mereka yang tidak bertanggung jawab yang mengatakan bahawa wabak COVID-19 kononnya ada termaktub di dalam Al Quran. Antara yang disebarkan adalah perkataan ‘قرن’ yang dibaca dengan ‘qorona’ sedangkan jauh sekali sebutan dan makna perkataan ini dengan virus corona. Lalu bersungguh lah mereka mendatangkan dalil dalil tersebut dan menimbulkan keresahan dikalangan ahli masyarakat dengan tafsiran kita serah sahaja kepada Allah, ini semua sudah ketentuan Allah dan sebagai nya. Kita ulangi hadith yang menyebut;

قَالَ رَجُلٌ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أُرْسِلُ نَاقَتِي وَأَتَوَكَّلُ؟ قال: “اعقلها وتوكل

‘Seorang lelaki berkata kepada Nabi s.a.w: Aku lepaskan unta aku dan aku bertawakkal? Baginda menjawab: Ikatlah unta itu dan bertawakkallah’.

Perkara ini telah turut disentuh oleh Darul Ifta’ Mesir ( Bahagian Fatwa Mesir) yang menyatakan bahawa penyebaran berita bahawa corona virus telah disebut didalam AlQuran adalah merupakan tadlis (penyelewengan) keatas Al Quran dan tahrif ( mengubah) makna ayat AlQuran.

Kita meyakini bahawa Allah SWT telah meminta kita untuk mencari sebab dan seterusnya hendaklah bertawakal pada Nya dengan berdoa. Rawatan yang paling baik untuk mencegah penularan wabak ini adalah dengan mengikuti arahan arahan dari Kementerian Kesihatan dan berdoa supaya wabak ini diangkat daripada kita dan kita sama sekali dilarang dari menyebarkan fahaman khurafat dan mengada adakan sesuatu yang tidak ada asasnya.

Pada ketika kita semua sedang berdepan dengan wabak yang amat serious ini, hubungan kita dengan Allah SWT hendak lah menjadi semakin akrab dengan berpegang pada adab adab dan juga peraturan yang berpandu kepada ajaran Syariah.

Dalam suasana ini juga, kita jangan menuding jari dan membuat tuduhan tuduhan rambang bagi mencari kesalahan orang lain. Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham ketika memaklumkan perkembangan terkini tentang isu COVID-19 didalam negara kita siang tadi, telah menyebut ‘ jangan kita persalahkan jemaah tabligh’. Sekarang ini bukan nya masa untuk mencari siapa yang bersalah. Sekarang adalah waktu untuk setiap dari kita melaksanakan apa saja yang kita mampu dalam ruang lingkup keupayaan yang kita milik.

Sekali lagi, kita di minta untuk terus akur melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan supaya kita duduk di rumah, mengamalkan penjarakan sosial, menjaga kebersihan diri, sentiasa membasuh tangan dan lain lain amalan yang bukan lah begitu sukar sebenar nya untuk dilakukan.

Menurut James Gallagher, Koresponden Sains dan Kesihatan BBC, virus ini telah mengambil masa 67 hari selepas pertama kali ianya dilapurkan untuk menjangkiti 100,000 kes yang pertama, 11 hari untuk berjangkit kepada 100,000 kes yang kedua dan hanya tiga hari untuk sampai kepada kes 100,000 yang ketiga. Arus yang dibawa ini begitu cepat menular dan jumlah yang sedang dirawat didalam negara kita juga semakin bertambah.
Di Perancis, denda sebanyak 600 Euro akan dikenakan kepada mereka yang melanggar perintah berkurung yang dilaksanakan.

Di Sepanyol, pandemik ini telah sampai kepada peringkat mayat mayat mereka yang berumur dijumpai kerana ditinggalkan di rumah jagaan orang orang tua. Apa yang sedang berlaku di Itali pula, adalah sesuatu yang diluar jangkaan dengan jumlah kematian yang begitu mendadak sehingga menelan mangsa yang tertinggi didunia pada ketika ini. Di UK pula peraturan yang lebih keras mula dilaksanakan bagi memastikan penduduknya duduk dirumah.

Bagi kita di tanah air tercinta ini, kita mampu insyallah untuk menghadapi virus ini sekiranya sama sama akur dan mengikuti apa yang telah diarahkan kepada kita. Yang Di Pertuan Agong telah bertitah, YAB Perdana Menteri telah merayu, Pihak berkuasa berunifom sudah di lapangan, Kementerian Kesihatan telah memberi panduan, mereka yang berada di barisan hadapan sedang bertungkus lumus tanpa mengenal penat dan lelah. Sekarang hanya tinggal kita, sebagai rakyat untuk melaksanakan nya. Sayangi lah diri sendiri, keluarga, jiran dan negara kita.

قال الامام الشافعى :” لَمْ أَرَ أَنْفَعَ لِلْوَبَاءِ مِنَ التَّسْبِيح

Berkata Al Imam Al Shafei ‘Aku tidak melihat yang lebih bermanfaat ketika berlaku nya sesuatu wabak melainkan untuk memperbanyakan tasbih’.

Ketika kita sedang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan marilah kita juga memperbanyakan bertasbih kepada Allah SWT selain dari amalan amalan lain yang bersandarkan kepada syara’, moga moga COVID-19 akan segera meniggalkan kita semua.

Allahumma Ameen

Nasharudin Mat Isa
Bandar Bukit Mahkota
Kajang.

*Datuk Dr. Nasharuddin Mat Isa adalah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Gerakan Kesederhanaan Global (GMM). Di peringkat parti, beliau merupakan mantan Timbalan Presiden PAS (2005-2011).

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili The Malaya Post.

*SubscribeChannel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

 

Leave a Reply