Penyanyi Zynakal didenda RM2800 cedera pekerja stesen minyak, halang polis

0

Mahkamah majistret Ampang hari ini menjatuhi hukuman denda RM2800 terhadap Penyanyi dan komposer, Zynakal atas dua pertuduhan kerana mencederakan seorang pekerja stesen minyak dan menghalang polis daripada menjalankan tugas, Rabu lalu.

Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh atau nama sebenarnya Muhammad Raziq Rosli , 21 selepas dia mengaku bersalah melakukan kedua-dua kesalahan itu.

Bagi kesalahan mendatangkan kecederaan, Muhammad Raziq dijatuhi hukuman denda RM800 dan bagi pertuduhan menghalang penjawat awam, dia didenda RM2,000.

Penyanyi yang popular dengan lagu ‘Terbang’, kemudian membayar denda berkenaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Muhammad Raziq didakwa mendatangkan kecederaan terhadap warga Bangladesh, Ahmad Mostak, di Stesen Petronas Pandan Prima, Ampang, di sini, jam 3 petang, pada 28 Ogos lalu.

Pendakwaan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya.

Muhammad Raziq turut didakwa dengan sengaja menghalang anggota polis dengan tidak menunjukkan kad pengenalannya bagi tujuan pemeriksaan, di tempat sama, jam 3.30 petang, pada tarikh sama.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon dikenakan hukuman denda yang rendah, dengan alasan tidak mempunyai pendapatan tetap dan hanya bekerja sebagai penulis lirik dan komposer.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, S Sangitaa, membantah rayuan itu dan memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran.

Leave a Reply