Penyanyi Mac Ruhayu kesal penganjur pinggir artis era 90-an

0

Penyanyi era tahun 90-an yang popular dengan lagu “Kita Ditakdirkan Bersama”, Mac Ruhayu Mohd Nor kesal dengan sikap segelintir penganjur yang bersikap pilih kasih dengan membuat tawaran bayaran yang tinggi kepada artis baru berbanding artis senior walaupun nyanyian penyanyi lama kekal malar segar.

Mac Ruhayu, 44 tahun dalam temubual eksklusif The Malaya Post berkata, kekesalan itu timbul apabila pihak penganjur memberi alasan tidak mempunyai bajet untuk menawarkan kadar bayaran yang tinggi terhadap penyanyi lama.

“Artis-artis era 90-an ditawarkan dengan nilai RM500 hingga RM1,000 dan perlu menyanyikan minimum 6-7 buah lagu”.

“Akan tetapi bayaran untuk penyanyi baru atau BBNU pula ditawarkan dengan harga yang tinggi sehingga RM10,000 hingga RM20,000”, katanya kepada The Malaya Post.

Penyanyi cantik kelahiran Sarawak ini juga memberitahu terdapat kira-kira 500 artis dan penyanyi era tahun 90-an yang masih aktif dengan kerjaya seni.

“Saya dan rakan-rakan ada membuka Fan Page Penyanyi dan Kumpulan Artis 90-an”.

“Saya akan selalu update info-info terkini tentang artis-artis ini. Kita turut akan tag atau link ke Facebook peribadi mereka”.

“Dengan ini boleh lah para peminat mereka menjejaki penyanyi-penyanyi di era 90-an dan boleh berkomunikasi secara terus di FB”, tambahnya lagi.

Mac turut memberitahu ada berhubung secara peribadi dengan artis dan penyanyi yang masih aktif dan nama-nama besar dalam industri.

Menurut Mac, beliau sendiri tidak pernah bersara malah kekal aktif menyanyi dan baru saja muncul dengan single Moga Kau Mengerti untuk album 5 Suara pada hujung tahun lalu.

Pada masa ini, Mac sibuk menjalani sesi promosi album itu bersama rakan artis lain antaranya Adilla Idris, Norlie Tamam, Azie Mustapha dan Haslinda.

“Saya tidak pernah bersara malah sangat aktif memenuhi undangan nyanyian di seluruh negara, dunia nyanyian adalah hidup saya dan ia menjadi punca rezeki saya sekian lama, ” katanya sambil tersenyum manis.

Mengakhiri perbualan, Mac Ruhayu yang juga Pengasas Kelab Artis 90-an menyeru agar peminat-peminat dan juga penerbit televisyen untuk menjengah Fan Page Penyanyi dan Kumpulan Artis 90-an sekiranya ingin mengetahui perkembangan terkini artis-artis berkenaan.

Terdahulu Mac hadir bersama teman rapatnya, pelakon dan penyanyi Norlie Tamam di majlis ramah santai di Freelancer Cafe TTDI Plaza KL atas jemputan Selebriti Popular Azwan Ali.

Di majlis sama Mac dan Norlie disajikan dengan menu istimewa Nasi Ayam dan mee Hailam Diva AA.

Turut hadir suami Mac, Sulaiman Mohamad, 54 tahun.

Untuk rekod pasangan bahagia ini ijabkabulkan pada Mac lalu.

Pada perkahwinan lalu, Mac dikurniakan empat anak lelaki yang kini berusia 15 hingga 24 tahun.

Kami di The Malaya Post mengucapkan Selamat Maju Jaya buat Mac Ruhayu.

Leave a Reply