Penyanyi Jaclyn Victor dan Shawn Rivera berpisah

0

Rumah tangga yang terbina antara juara Malaysian Idol, Jaclyn Victor dan vokalis kumpulan A&Z Yet, Shawn Rivera akhirnya terlerai setelah lima tahun bersama.

Berita sedih itu diumumkan sendiri oleh Shawn, 48, menerusi perkongsian di laman Facebook miliknya, sebentar tadi.

Menurut Shawn, dia tidak berhasrat untuk mendedahkan punca perceraian dengan penyanyi yang terkenal dengan lagu Gemilang itu, malah menurutnya biarlah mereka sahaja tahu apa sebenarnya berlaku.

“Sebagai selebriti, tidak dinafikan kami terdedah dengan pelbagai tanggapan masyarakat dan menjadi amalan manusia untuk menilai, menuding jari dan mengkritik orang lain tanpa mengetahui kedudukan sebenar.

“Justeru, tidak perlu untuk kami membuka pekung di dada atau memburukkan antara satu sama lain kerana kesannya nanti menimpa anak kami yang tidak berdosa,” tulisnya.

Tambah Shawn lagi, keputusan untuk berpisah ini bukanlah satu keputusan yang mudah untuk mereka berdua lakukan.

“Kami sudah cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan perkahwinan, namun hakikat tinggal berjauhan dalam tempoh cukup lama membuatkan masing-masing agak sukar untuk menyesuaikan diri dengan situasi berbeza ini.

“Walaupun berpisah, kami takkan sekali-kali mengabaikan tanggungjawab sebagai ibu dan bapa. Kami akan kekal komited memberikan yang terbaik buat kedua-dua anak kami supaya mereka menjadi insan berguna apabila dewasa kelak.

ÔÇťApapun yang berlaku antara saya dan Jac (Jaclyn), saya tetap menyayangi mereka. Melihat senyuman mereka, terubat segala rasa sedih dan patah hati yang saya lalui ketika ini,” ujarnya.

Penyanyi berkenaan turut memohon semua pihak supaya menghormati situasi mereka ketika ini dan meminta agar masing-masing tidak diganggu.

Pasangan selebriti itu berkahwin di sebuah gereja bersejarah di Philadelphia pada 19 Julai 2014.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata, Jonah Joshiah Rivera, 5, dan Molly Marguerite Rivera, 3.-THE MALAYA POST

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel
Untuk perkembangan berita dan isu semasa
tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply