Penjawat awam boleh bekerja dari rumah jika perlu

0

Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan dibenarkan bekerja dari rumah (BDR) jika mendapat arahan dari kerajaan, Ketua Jabatan, Ketua Setiausaha Negara atau Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.

Demikian memetik pengumuman Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman menerusi Pelaksanaan dasar BDR yang telah dikuat kuasakan pada 1 Januari lalu.

Arahan BDR bertujuan mengurangi atau mengelakkan kerugian, kerosakan atau kemusnahan atas sebab seperti pencemaran alam sekitar, penularan penyakit berjangkit atau bencana alam yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam sama ada di pejabat, premis atau kawasan tempat kediaman.

“Sebagai contoh, pegawai tidak dapat hadir ke pejabat kerana kediaman berada dalam kawasan dikenakan perintah kawalan pergerakan atau lain-lain tindakan yang menyebabkan pergerakannya terhalang,

“Begitu juga jika pejabat pegawai perlu dikosongkan kerana mengalami serangan kulat dan serangga, kerosakan struktur atau pejabat diwartakan oleh kerajaan sebagai pusat kuarantin atau lain-lain kegunaan bagi menangani isu tertentu,

“BDR juga boleh dipertimbangkan bagi tujuan mengelak berlakunya kemudaratan, kesukaran atau keadaan serba salah. Sebagai contoh, kehadiran pegawai ke pejabat boleh menyebabkan wujudnya percanggahan kepentingan peribadi yang memungkinkan kebocoran maklumat atau membawa penglibatan pengaruh luar,

Selain itu, BDR juga akan dipertimbangkan dalam usaha mewujudkan keseimbangan serta kesejahteraan antara keperluan agensi dan keperluan pegawai menguruskan hal persendirian dalam situasi pegawai tidak dibenarkan menggunakan kemudahan cuti.

”Contohnya, keperluan menjaga anak-anak berusia 12 tahun dan ke bawah akibat penutupan taska atau pusat asuhan kanak-kanak atau sekolah rendah disebabkan, antara lain atas arahan kerajaan,” jelasnya terperinci.

Beliau menambah, dasar BDR memperuntukkan pegawai melaksanakan tugas hakiki atau tugas rasmi lain dari rumah pada hari bekerja.

“Ia boleh dilaksanakan sama ada secara penuh atau separuh hari bagi sesuatu tempoh mengikut kesesuaian, tertakluk kepada kepentingan perkhidmatan awam dan diambil kira sebagai hadir bertugas,

“Pegawai yang diarah atau dibenarkan BDR perlu mematuhi peraturan ditetapkan antaranya memberikan alamat penuh tempat tinggal, sentiasa berada di rumah sebagai tempat bekerja dalam tempoh yang ditetapkan dan sentiasa boleh dihubungi dalam tempoh, hari dan waktu bekerja,

“Pegawai berkenaan juga perlu sentiasa bersedia untuk hadir ke pejabat atau mana-mana lokasi lain yang diarahkan ketua jabatan dalam tempoh yang munasabah,” tegasnya.

Beliau berharap dan bertindak untuk memantau agar perlaksanaan BDR tidak akan menjejas atau menyebabkan penyusutan kualiti penyampaian perkhidmatan dan prestasi kerja pegawai.

“Ketua jabatan hendaklah menetapkan dan memantau pencapaian tugasan pegawai yang BDR,” ujar beliau.

Dasar BDR diwujudkan sebagai alternatif cara bekerja baharu kakitangan perkhidmatan awam dalam usaha berterusan menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan awam dan keperluan mengimbangi keperluan tugas dan kesejahteraan pegawai.

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

 

Leave a Reply