Penggabungan UMT, UniSZA tindakan ke belakang – Dato’ Seri Ahmad Said

0

Keputusan kerajaan pusat menerusi Kementerian Pendidikan Malaysia mahu menggabungkan dua buah Intitusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) iaitu Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) adalah satu tindakan ke belakang dan terburu-buru.

Kenyataan Adun Kijal merangkap Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said menerusi laman Facebook miliknya berkata, cadangan kerajaan PH untuk mengurangkan beban kewangan tanpa mengambil kira pandangan pelbagai pihak dan kesan negatif yang akan berlaku kepada kedua-dua universiti itu tidak dapat diterima.

“Umum sedia maklum UMT dan UniSZA mempunyai bidang pengajian berbeza di mana UMT berfokuskan penyelidikan dan Sains Marin manakala UniSZA pula berlatar belakangkan pengajian Perubatan, Islamik dan Pengurusan”.

“Impak yang paling dirasai daripada penggabungan ini iaiah kakitangan universiti akan bertambah dan berlaku pertindihan tugas yang sama sekaligus ia akan mengakibatkan ada pekerja yang bakal diberhentikan terutamanya yang berstatus kontrak”, tambahnya.

Beliau berpendapat sepatutnya Kementerian Pendidikan perlu mewujudkan satu jawatankuasa khas dalam menaik taraf dan menambah baik kualiti universiti supaya setaraf dengan universiti ternama luar negara dan bukannya memberikan idea yang tidak masuk akal seperti ini.

Beliau turut mengulas, UniSZA sebelum ini dikenali sebagai Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) dan merupakan hak milik kerajaan negeri Terengganu.

Namun telah diserahkan kepada kerajaan pusat untuk dijadikan sebagai IPTA untuk mengembangkan lagi peranan institusi pendidikan tersebut.

“Jika kerajaan PH tidak mampu menguruskannya, adalah lebih baik mereka mengadakan perundingan untuk menyerahkan kembali kepada kerajaan negeri untuk diuruskan sebagai satu jalan penyelesaian terbaik”.

“Saya berharap Kementerian Pendidikan dan menterinya YB Dr Maszlee Malik mengkaji semula sedalam-dalamnya cadangan penggabungan yang terbukti tidak mempunyai matlamat dan hala tuju yang jelas”, katanya.

Beliau menambah, kegagalan pemimpin Pakatan Harapan mentadbir Negara dengan baik tidak sewajarnya dijadikan alasan untuk meletakkan sektor pedidikan dan rakyat sebagai mangsa keadaan.

Rentetan itu, cadangan penggabungan ini turut dibantah oleh 23,000 mahasiswa kedua-dua universiti dan satu perhimpunan bantahan dianjurkan pada hari ini oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) universiti berkenaan.

Leave a Reply