Pengarah filem, dokumentari Husri Husin meninggal dunia

0

Pengarah filem, dokumentari dan penulis skrip, Mohd Husri Husin, 51, meninggal dunia akibat serangan jantung ketika sedang memandu sebelum terbabas melanggar tiang elektrik di tepi jalan kira-kira jam 10 pagi tadi.

Menurut isterinya, Rosmawaty Rahamis, dia tidak menyangka kejadian kemalangan yang dilihatnya ketika sedang memandu untuk ke tempat kerja pagi hari ini sebenarnya membabitkan suaminya.

Rosmawaty yang juga anak kepada artis veteran, Mek Habsah berkata, kebiasaannya mereka akan bersama-sama menghantar anak bongsu ke Tadika di Seri Gombak pada jam 8.30 pagi sebelum bersarapan di mana-mana kedai.

Bagaimanapun, Rosmawaty tidak dapat keluar bersama suaminya kerana perlu bersiap untuk ke tempat kerja pada jam 10.30 pagit

“Jam 10.30 pagi saya ada buat kerja sambilan. Suami memang tahu dan memang dia nak hantar saya ke tempat kerja, tapi saya suruh dia pergi dengan anak, manakala saya nak bersiap.

“Nanti bila dia balik boleh hantar saya pula. Namun, saya tunggu dia selama satu jam tetapi dia tak muncul. Saya cuba menghubunginya tetapi tiada jawapan,” katanya.

Dia kemudian membuat keputusan memandu sendiri untuk pergi bekerja.

Rosmawaty berkata, ketika dalam perjalanan, dia terserempak dengan kejadian kemalangan.

“Saya nampak kereta Perodua Kancil warna merah yang melanggar tiang lampu dan mula rasa tak sedap hati. Saya telefon anak di rumah sekiranya polis ada hubungi dia, tapi katanya tiada.

“Saya kemudian buat pusingan U menuju ke arah kereta itu. Saya beritahu apa yang berlaku kepada polis dan bertanyakan keadaan suami,” katanya.

Polis menjelaskan jenazah suaminya berada dalam kereta dan memintanya bersabar kerana sudah disahkan meninggal oleh pasukan paramedik yang tiba.

“Arwah mengalami calar di bahagian lengan dan kaki akibat terkena kaca cermin depan yang pecah. Saya dimaklumkan dia mengalami serangan jantung.

“Saya dan enam anak reda dengan pemergiannya. Keadaannya seperti sedang tidur dan tersenyum,” katanya mengakui suaminya memang ada masalah jantung.

Husri pernah menjadi penerbit Selamat Pagi Malaysia dari 1994 hingga 2000. Allahyarham juga pernah mengarah filem Uncle Usin lakonan Johan Raja Lawak dan Zizan Razak pada 2012.

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Rantau, Negeri Sembilan malam ini.–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply