Pengajaran tegas kepada Ahmad Zahid Hamidi dan pemimpin politik lain, tiada sesiapa yang boleh mengatasi undang-undang – Haniff Khatri

0

Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi gagal menunjukkan surat jemputan daripada Jabatan Perdana Menteri (PMO) berkenaan penangguhan perbicaraan mahkamah pada (2 Mac) dengan alasan kerana bertemu dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kelmarin (3 Mac).

Presiden UMNO itu berkata surat terbabit tidak dapat dikeluarkan memandangkan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri belum dilantik secara rasmi.

Peguam Kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata Ahli Parlimen Bagan Datoh itu bukan sahaja memperlekehkan sistem keadilan mahkamah dengan memberi kenyataan tidak benar dan salah tentang kewujudan “Surat Jemputan” yang sememangnya tidak wujud malah mengambil mudah sistem tadbir urus negara.

“Beliau mengambil mudah dan memperlekehkan sistem tadbir urus negara juga, dengan menganggap mana-mana surat dari agensi Awam atau Kerajaan seperti Pejabat Perdana Menteri boleh dengan mudah diuruskan dan dikeluarkan untuk memudah cara kesulitan Zahid Hamidi yang menghadapi prosiding penghinaan mahkamah itu.

“Selepas daripada ini, jikapun ada mana-mana pemimpin politik tanpa mengira kedudukan mereka, samada di pihak Kerajaan mahupun Pembangkang, sewenang-wenangya menganggap segala tipu muslihat mereka yang mungkin dahulunya diambil mudah, semestinya tidak akan diberi layanan sambil lewa oleh sistem keadilan mahkamah, malah tindakan wajar di sisi undang-undang pasti menanti mereka.

“Dalam hal keadaan kes ini, saya sememangnya yakin, walaupun prosiding penghinaan mahkamah telah ditamatkan terhadap Zahid Hamidi di atas permohonan maaf olehnya, sememangnya pengambilan prosiding penghinaan mahkamah terhadap Zahid Hamidi sudahpun menjadi satu pengajaran tegas dan wajar kepada Zahid Hamidi dan juga mana-mana pemimpin politik lain, bahawa tiada sesiapa yang boleh mengatasi undang-undang sertakesemua pihak di medan keadilan akan diberi layanan yang sama dan sekata, ujar Haniff Khatri.

Pada prosiding penghinaan mahkamah yang dipohon oleh Pendakwaraya terhadap Dato’ Seri Ahmad Zahid nyata ia bertentangan dengan keterangan beliau di mahkamah bahawa dia menerima surat daripada PMO untuk satu pertemuan dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana berbincang soal pelantikan kabinet baru kerajaan.

Dato’ Seri Ahmad Zahid kemudian memohon maaf terhadap mahkamah atas apa yang disifatkannya sebagai kekeliruan.

“Secara terbuka saya memohon maaf atas kekeliruan dan salah faham yang timbul, dan saya tak berhasrat langsung untuk mengelirukan mahkamah ini.

“Saya amat menghormati Yang Arif dan mahkamah yang mulia. Sekali lagi saya memohon maaf atas kekeliruan,” katanya

– THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply