Penerbangan ihsan bawa dua bayi jalani pembedahan segera di ibu negara

0

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan penerbangan ihsan membawa dua bayi lelaki dari Kota Kinabalu, Sabah ke Pangkalan Udara Subang petang semalam.

Memetik sumber berita daripada Bahagian Perhubungan Awam TUDM, penerbangan dilakukan bertujuan membawa bayi-bayi terbabit ke ibu negara bagi menjalani pembedahan segera di Institut Jantung Negara (IJN),Kuala Lumpur.

Difahamkan bayi berkenaan, Raava Whilby Renold, satu bulan mengalami masalah malformasi injap dan masalah jantung manakala bayi kedua, Haiyan Ali Mohd Aliff, dua bulan, mengalami masalah jantung berlubang dengan malformasi pembuluh darah besar.

Terdahulu, kedua-dua bayi ini telah menerima rawatan di Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah, namun bayi-bayi berkenaan perlu menjalani pembedahan segera di IJN.

TUDM bertindak membantu dua bayi ini dengan melakukan penerbangan ihsan menggunakan Pesawat Angkut C130H dari No. 20 Skuadron, Pangkalan Udara Subang.

Penerbangan diketuai oleh Mejar Khairol Fadzley Abu Bakar dan Mejar Ahmad Zikri Azhar dan turut dibantu oleh Kapten Muhammad Faiz Ahmad Shukri serta Kapten Jamaludin Juhari sebagai pembantu juruterbang.

Bayi-bayi ini diiringi seorang pegawai perubatan, seorang jururawat dan juga ibu kepada bayi masing-masing.

Selain itu, pesawat ini juga turut membawa sampel ujian COVID-19 dari Kota Kinabalu bagi perlaksanaan ujian pengesahan di makmal-makmal di semenanjung.

Pesawat C130H berlepas dari Kota Kinabalu pada jam 3.14 petang dan tiba di Pangkalan Udara Subang pada jam 6.27 petang semalam.

Dalam pada itu, ATM menjelaskan selain komited dalam melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan dan kedaulatan negara, pihaknya turut bersedia menunaikan tanggungjawab kemanusiaan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply